Malaysia Dateline

Dr M, negarawan ulung wajar diberi penghormatan, kata Presiden RUS

Idea memberi penghormatan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan anugerah ijazah doktor kehormat dalam bidang kepimpinan masyarakat, bisnes dan politik tercetus daripada kumpulan pelajar Rangsit University (RUS) yang mencari-cari satu contoh peranan dalam kepimpinan dari kalangan negara-negara jiran.

Presiden RUS Dr Arthit Ourairat memberitahu media Malaysia bahawa pelajar program kepimpinan Social Innovation College universiti tersebut mendapati Dr Mahathir sebagai tokoh paling layak dan mengambil inisiatif untuk mengunjungi beliau.

“Kami menilai apakah contoh peranan yang negara kami perlukan dan Dr Mahathir memiliki segalanya yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang cemerlang,” kata beliau.

“Beliau seorang pemimpin tegas dan berani yang membawa negara maju ke hadapan malah menyelamatkan negara pada saat-saat kegawatan termasuk semasa krisis kewangan 1998. Inilah jenis pemimpin kami rakyat Thai yang ingin miliki.

Kerana itulah pelajar yang sama ialah antara mereka yang paling awal mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir apabila gabungan Pakatan Harapan yang diterajuinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, kata beliau dan menambah, pelajar-pelajar itu akan menerima ijazah mereka esok bila Dr Mahathir dianugerah ijazah doktor kehormat hari ini.

Hakikat bahawa Dr Mahathir datang ke sini untuk menerima anugerah berkenaan walaupun mempunyai jadual yang padat bukan hanya akan memberi inspirasi kepada graduan baharu tetapi juga orang ramai.

“Walaupun usianya sudah lanjut, beliau tetap bersemangat, teruja dan bertenaga dengan menyampaikan ucapan tanpa melihat skrip. Idea dan wawasannya tercetus begitu pantas lagi dinamik dan setiap hari beliau beliau menampilkan penyelesaian baharu terhadap masalah yang dihadapinya,” kata Dr Arthit, 80, dan menambah ini sesuatu yang disanjung oleh rakyat Thailand tentang Dr Mahathir.

“Walaupun saya 13 tahun lebih muda daripadanya tetapi tidak dapat bersaing dengan beliau.

“Selepas memenangi pilihan raya, namanya meniti di bibir rakyat di Thailand. Jadi, beliau adalah contoh terbaik untuk orang lain, Thaksin (bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra) mengapa kamu tidak kembali. Ia bukan mengenai usia, banyak perkara lain yang harus dipertimbangkan.

“Tiada siapa pun yang sempurna tetapi saya mendapati tiada apa-apa yang tidak baik mengenai Dr Mahathir. Kami mengagumi bahawa apabila negara menghadapi masalah, beliau walaupun usianya telah lanjut, sanggup untuk kembali, bekerja keras dan menyelamatkan negara demi rakyat,” kata beliau.

“Kami sangat selektif tentang siapa yang kami anugerahkan ijazah doktor kehormat. Setakat ini, kami hanya menganugerahkan ijazah kehormat itu kepada empat orang termasuk Dr Mahathir. Tiga lagi penerima adalah Puteri Srinagarindra (Somdet Ya) dari Thailand; Raja Bhutan, Yang Mulia Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (2009); dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (2016).

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diraikan pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Rangsit University di sebuah hotel terkemuka di sini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri; Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel; Menteri Pendidikan Thailand Teerakiat Jareonsettasin; Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Weerasak Kowsurat dan Timbalan Menteri Luar Thailand Virasakdi Futrakul serta anggota kanan akademik universiti tersebut.

Pada majlis itu, mereka yang hadir mengajukan minum ucap selamat kepada Dr Mahathir semoga dipelihara kesihatan, dilanjutkan usia dan kepimpinannya mencapai kejayaan besar, beroleh kebahagiaan dan masa depan yang lebih cerah untuk negara dan rakyatnya.

— BERNAMA