Dr Mahathir alami jangkitan saluran penafasan, segera dikejarkan ke IJN

Oleh MALAYSIADATELINE

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat mengalami jangkitan saluran pernafasan, petang semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh pembantu Dr Mahathir, Sufi Yusoff yang turut memberitahu bahawa pemimpin berusia 99 tahun terbabit mulanya mengalami batuk sebelum segera dikejarkan ke IJN.

Jelas Sufi, pemimpin yang lebih mesra disapa sebagai Tun M itu mendapat cuti sakit sehingga 25 Oktober ini, lapor Berita Harian.

“Dr Mahathir dimasukkan (ke IJN) petang semalam kerana mengalami batuk. IJN menyatakan beliau mendapat jangkitan saluran pernafasan bawah (lower respiratory tract infection),” katanya memetik laporan Berita Harian.

Masalah kesihatan dialami Dr Mahathir itu menyebabkan perbicaraan kes saman beliau terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan.

Peguam yang mewakili Dr Mahathir selaku plaintif iaitu Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, anak guamnya itu diberi cuti sakit sehingga 25 Oktober namun boleh hadir semula ke mahkamah untuk menyambung perbicaraan pada 29 dan 30 Oktober.

Terdahulu, Tun M memfailkan tuntutan tersebut pada 20 Julai 2022 dengan mendakwa Zahid telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu kemudian diterbitkan semula di saluran YouTube dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwa Dr Mahathir, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukanlah dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Beliau juga didakwa menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadi selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Baca juga: “Netizen tuduh saya penyondol, sedangkan hubungan saya dengan madu baik” – Zarina