Malaysia Dateline

Dr Mahathir diiktiraf Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia

Penerbitan The Muslim 500 bagi tahun 2019 mengiktiraf Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia kerana kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Dr Mahathir disifatkan sebagai pemimpin tertua di dunia yang memiliki perjalanan kerjaya politik luar biasa sempena ulang tahun ke-10 penerbitan itu.

Felo Institut Kajian Polisi Luar Negara di Institut Pengajian Islam Aal al-Bayt, Jordan, Profesor S Abdallah Schleifer, berkata selain berpengalaman selama 70 tahun dalam tadbir urus kerajaan, Dr Mahathir turut menerbitkan 17 buku yang menceritakan latar belakang serta kemelut ekonomi negara, malah menyenaraikan rancangannya untuk mengatasi masalah dihadapi.

Menurutnya, ketokohan Dr Mahathir dalam menduduki jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun disifatkan sebagai tempoh terpanjang, mengatasi mana-mana pemimpin negara dan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak lima kali berturut-turut berjaya membawa Malaysia ke arah pemodenan serta pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Gelaran ‘Harimau Asia’ yang diberi kepada Malaysia ketika era pemerintahannya daripada 1981 hingga 2003 menyaksikan negara mengalami ledakan ekonomi sehingga digeruni negara jiran.

“Asas pertumbuhan ekonomi negara diperkukuhkan beliau pada 1969 ketika rusuhan berlaku disebabkan perselisihan antara orang Melayu dan masyarakat Cina yang dilihat lebih mendominasi sektor perniagaan ketika itu.

“Masyarakat Cina membentuk kira-kira sepertiga daripada jumlah penduduk, tetapi pada tahun 1960-an mereka mendominasi sebahagian besar sektor komersil, manakala kira-kira 56 peratus orang Melayu kebanyakannya adalah petani dan hanya menunjukkan sedikit minat terhadap bidang perniagaan.

“Pada akhir tahun 1960-an, beberapa ratus saja perniagaan bersaiz kecil dan sederhana yang dijalankan dimiliki oleh orang Melayu dan daripada jumlah profesional berdaftar pada 1970, hanya 4.9 peratus terdiri daripada orang Melayu,” kata Abdallah dipetik dari BH Online.