Dr Mahathir Mohamad dan isteri ziarah pusara Fadzil Noor

Dr Mahathir Mohamad dan isteri ziarah pusara Fadzil Noor

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menziarahi pusara bekas presiden Pas Datuk Fadzil Mohd Nor di Muasasah Darul Ulum Kedah hari ini.

Turut mengiringi calon Parlimen Langkawi itu adalah anak dan menantu bekas presiden Pas yang terkenal itu serta calon PH Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar.

Anak Ustaz Fadzil, Faiz Fadzil melahirkan rasa terhari beliau dengan kunjungan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Faiz yang kini calon Pakatan Harapan (PH) di Permatang Pasir Pulau Pinang berharap, kunjungan itu akan memurnikan hubungan antara kedua-dua pemimpin politik Pas dan Umno itu.

Sementara itu, ketika berucap di Pokok Sena Tun Dr Mahathir berkata, walaupun Hanya pernah sepentas sekali semasa menjadi seteru politik, rupa-rupanya Allahyarham Datuk Fadzil Noor mempunyai tempat tersendiri buat Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Malaysiakini.

Kata bekas perdana menteri itu, Fadzil pernah menjadi penasihat agama beliau, iaitu ketika tokoh terbabit belum aktif dalam politik.

Kata Dr Mahathir pada ketika tertentu apabila berdepan dengan sesuatu isu berkaitan Islam yang tidak difahami beliau akan mempelawa Fadzil ke rumahnya.

“Dia (Fadzil) ini dulu sebelum aktif dalam politik, dia jadi saya punya consultant agama.

“Apabila saya mendapat sesuatu (persoalan) yang saya kurang faham, saya jemput dia ke rumah,” katanya semasa berceramah di Kampung Bukit, Pokok Sena, sebagaimana dilaporkan oleh laman online itu.

Dr Mahathir hadir di sekitar kawasan itu untuk berkempen bagi membantu calon Pakatan Harapan menjelang PRU ke-14 yang akan berlangsung kira-kira tiga hari lagi.

Pakatan Harapan menurunkan bekas naib presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang akan mempertahankan kerusi parlimen Pokok Sena yang pernah menang disitu pada 2013 dan 2008 serta 1999.

8.0
OVERALL SCORE
6 user votes x 9.3