Dr Mahathir nafi cadangan ambil alih lebuh raya ditangguh

Dr Mahathir nafi cadangan ambil alih lebuh raya ditangguh

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan bahawa cadangan pengambilalihan konsesi empat lebuh raya bernilai RM6.2 bilion telah ditangguhkan untuk dikaji semula.

Beliau turut menyangkal laporan berita yang mengatakan rancangan itu dimulakan tanpa kelulusan Kabinet.\

“Tidak, tidak seperti itu. Kabinet sudah diberitahu mengenai rancangan ini oleh Kementerian Kewangan dan kita katakan tidak. Tetapi hanya tarikh pelaksanaannya sahaja yang akan diputuskan oleh Kabinet,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa mengenai “Memperkasa Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat untuk Masa Depan,” di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta memberi komen berkenaan laporan akhbar Singapura The Straits Times yang melaporkan seorang menteri yang tidak dinamakan sebagai berkata rancangan pengambilalihan itu telah ditangguhkan disebabkan berlaku percanggahan pendapat mengenai cadangan yang diketuai Kementerian Kewangan itu.

Keempat-empat lebuh raya yang terlibat dalam pengambilalihan itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Stormwater Management and Road Tunnel (Terowong SMART).

“Kementerian Kewangan nampak yakin ia boleh dilaksanakan. Tetapi masalahnya ialah kita tiada wang.

“Tetapi Kementerian Kewangan kata dengan mengenakan caj pada waktu-waktu puncak, mereka boleh mengumpul dana yang mencukupi untuk membiayai pengambilalihan keempat-empat lebuhraya itu. Kita akan tengok nanti sama ada cukup atau tidak,” kata beliau. — BERNAMA