Malaysia Dateline

Dr Mahathir nasihat kurangkan makan, jangan jadi gemuk

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia agar tidak mengambil makanan secara berlebihan bagu mengelak masalah kegemukan.

Menurutnya, dalam ruangan beliau yang disiarkan oleh akhbar New Sunday Times hari ini bertajuk “Here’s my recipe for staying healthy” (Ini resipi saya kekal sihat), kita hendaklah makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.

Amalan pemakanan yang baik adalah resipi pertama beliau untuk hidup terus sihat kerana baginya tubuh benar-benar tidak memerlukan banyak makanan melainkan pada usia muda dan sedang membesar.

“Bagi mereka makanan diperlukan untuk memastikan pertumbuhan badan yang sihat. Masih lagi, jumlah makanan tidak sepatutnya melebihi daripada apa yang diperlukan.

“Kegemukan selalunya berlaku hasil daripada makan berlebihan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dan kegemukan tidak bagus untuk kesihatan dan umur,” tegasnya.

Perdana Menteri tertua dunia itu berkata, kanak-kanak membesar gemuk kerana ibu bapa memaksa anak mereka mengambil banyak makanan yang tidak sepatutnya.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, ibu bapa hendaklah mengajar anak mereka untuk makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran manakala nasi atau karbohidrat dan tentunya gula dikurangkan.

Mengulas lanjut mengenai kegemukan yang mempengaruhi satu peratusan yang tinggi terhadap rakyat Malaysia, beliau berkata, masalah itu selalunya bermula pada umur 40 tahun.

Jelasnya, hal tersebut berlaku kerana kecenderungan pada umur itu untuk makan sebanyak mungkin makanan sedap yang ada dan apabila makanan itu sedap, lebih banyaklah yang akan dimakan.

Menurutnya, perut pula akan bertindak balas kepada pengambilan yang lebih banyak dengan mengembang lagi dan apabila ini berlaku lebih banyak makanan diperlukan untuk mengisi rasa lapar dan ini berkesudahan dengan kenaikan berat badan sedangkan kegemukan adalah tidak baik untuk kesihatan.

Dan dengan keadaan badan yang begitu besar, ujarnya, jantung perlu bekerja kuat untuk mengalirkan darah dan menyerap makanan ke dalam badan yang terlebih berat.

Bagi menanggung kerja kuat itu, kata Dr Mahathir, jantung mengembang manakala tekanan darah terus naik hingga membawa bersama-sama semua jenis simptom dan penyakit yang berkaitan dengannya.

“Jadi untuk mengelakkan penyakit darah tinggi, kurangkan makan dan jangan jadi gemuk. Selain jantung, organ lain dalam badan seperti hati, buah pinggang dan pankreas juga akan mengalami banyak tekanan.

“Mana-mana satu organ berkenaan kemungkinan akan gagal berfungsi dan seterusnya pendekkan umur,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah negara obes, di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Hal ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling gemuk di Asia, dengan jangkaan populasi yang berlebihan berat badan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus.