Malaysia Dateline

Dr Mahathir, Shafie dijadual ke istana petang ini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 2.30 petang nanti.

Menurut media yang berkampung di hadapan istana ketika ini, sembah menghadap kemudiannya akan disusuli oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga dijadualkan hadir petang ini.

Setakat pagi tadi sekitar jam 10.20 pagi, kereta Toyota Vellfire hitam yang dinaiki Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tiba melalui pintu 2 istana.

Setakat semalam, dilaporkan empat pemimpin politik sudah menghadap Agong sejak awal pagi.

Antaranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir di sebelah pagi untuk pertemuan mingguan sebelum mesyuarat Kabinet.

Kemudian diteruskan dengan sembah menghadap oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Pertemuan pemimpin-pemimpin politik dengan Yang di-Pertuan Agong dijangka berakhir Jumaat ini.