Malaysia Dateline

Dr Mahathir sokong Huawei, tidak tunduk telunjuk AS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu telah menyatakan sokongan kuat kepada Huawei, sebuah syarikat gergasi China. Jelas Dr Mahathir, tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menekan syarikat Huawei kerana dianggap melakukan aktiviti risikan siber itu dilihat sebagai tindakan hipokrit bagi sebuah negara barat, lapor South China Morning Post.

Ketika lawatan di Tokyo, Jepun, Perdana Menteri Malaysia yang berusia 93 tahun itu menolak dakwaan bahawa Malaysia akan turut serta untuk menyekat kemasukan barangan teknologi Huawei, sepertimana dilakukan oleh AS dan Jepun.

Tambah beliau, walaupun pentadbiran Presiden AS Donald Trump mempunyai asas untuk menyekat kemasukan barangan Huawei – atas alasan keselamatan, walau bagaimanapun dasar itu bukanlah cara yang sesuai.

Kenyataan oleh Dr Mahathir dalam menyokong Huawei adalah dikira sebagai kenyataan yang paling kuat datang dalam kalangan pemimpin Asia, ketika syarikat Huawei yang kini sedang bergelut dalam perang dagang antara AS dan China.

Washington dan sekutunya percaya bahawa syarikat Huawei mempunyai jaringan kuat dengan pihak tentera China dan berkemungkinan tinggi untuk melengkapkan produk teknologi yang mempunyai tujuan untuk mengumpul maklumat risikan.

Pihak syarikat Huawei, walau bagaimanapun, telah menolak tuduhan ini.

Jelas Dr Mahathir, “Saya percaya bahawa CIA (Central Intelligence Agency) turut mempunyai maklumat risikan berkaitan apa yang terjadi di Malaysia dan China. Tetapi pihak kami tidak melancarkan boikot terhadap AS,” katanya ketika sesi dialog bersama Tokyo Foreign Correspondents’ Club.

Di dalam ucaptama beliau ketika menghadiri Nikkei Future of Asia Conference, beliau menyatakan bahawa China kini mempunyai “teknologi terbaik di dunia” dan AS seharusnya menerima status quo baharu ini.

“Kita seharusnya menerima bahawa AS tidak selamanya menjadi negara besar dalam soal teknologi… (Barat) seharusnya menerima hakikat bahawa kapabiliti (teknologi) turut berada di Timur. Tetapi sekiranya mereka ingin sentiasa kehadapan, dan mereka tidak mampu untuk menyekat anda, mereka akan mengirim kapal perang ke negara anda, dan ini bukanlah persaingan. Ini adalah ancaman.”