Dr Mahathir terjebak politik peras ugut, provokasi anti Melayu Islam

Dr Mahathir terjebak politik peras ugut, provokasi anti Melayu Islam

Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berpendapat kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berdepan tekanan politik peras ugut dan provokasi yang bersifat anti Melayu Islam.

Menurutnya, hal tersebut dapat dilihat pada desakan berterusan pihak tertentu termasuk dari pemimpin kerajaan supaya menghantar pulang pendakwah Dr. Zakir Naik ke India.

“Sekarang secara halus, seakan-akan Tun (Mahathir) dan pemimpin PH (Pakatan Harapan) sedang terjebak dalam politik peras ugut.

“Kerajaan juga seolah-olah terpalit dalam politik provokasi oleh sebahagian pemimpin dalam Pakatan Harapan yang cenderung memusuhi Melayu Islam,” ujar¬†bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Dr. Firdaus, 75, berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline semasa riadah pagi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, bekas Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) itu berkata, desakan yang dialami Dr. Mahathir termasuk dari DAP.

“Sekarang yang mendesaknya (Mahathir) dari dalam (kerajaan) termasuk DAP yang saya rasa sangat kuat dan terbuka suara mereka.

“Tambahan pula, rata-rata pemimpin muda dan veteran DAP sangat terlatih dalam politik lempar batu sembunyi tangan.

“Hal inilah yang terpaksa ditanggung oleh Tun Mahathir sekarang termasuk gejala lain di mulut, lain di hati atau dengan bahasa mudahnya, cakap tak serupa bikin oleh pemimpin di sekeliling Tun Mahathir,” tambahnya lagi.