Dr Mahathir tiba di New York hadiri Perhimpunan Agung PBB

Dr Mahathir tiba di New York hadiri Perhimpunan Agung PBB

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini Selasa (Rabu di Malaysia) untuk lawatan kerja menyertai sesi ke-37 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang White Plains Westchester County pada 1.12 tengah hari (1.12 pagi Rabu waktu Malaysia).

Mereka disambut semasa tiba antaranya Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Konsul Besar Malaysia di New York Jeremiah Oliver Jitos.

Dr Mahathir dijadual menyertai beberapa mesyuarat Peringkat Tinggi PBB sebelum berucap di perhimpunan agung di ibu pejabat PBB di sini, pada 28 Sept – hampir 15 tahun selepas beliau berucap di podium PBB itu.

Di luar jadual rasmi, Dr Mahathir dijangka mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk dari United Kingdom, Iran dan Sri Lanka.

Siri interbiu dengan Washington Post, The Wall Street Journal, TRT World, sesi perbincangan dengan pelabur dan pengurus dana, serta Majlis Perhubungan Luar, juga telah diatur.

Dr Mahathir akan turut menghadiri Forum Perniagaan Tahunan Kedua Bloomberg Global; berucap pada sesi Asia Society dan menghadiri jamuan malam bersama Majlis Perniagaan AS-Asean dan Dewan Perdagangan AS serta warga diaspora Malaysia di New York.

Semasa perhimpunan agung, Dr Mahathir akan disertai Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijadual berlepas ke London pada 29 Sept untuk meneruskan lawatan bahagian kedua ke United Kingdom.

COMMENTS

Wordpress (0)