Malaysia Dateline

Dr Mahathir tidak sihat program Jelajah Selamatkan Felda 2.0 esok, dibatalkan

Program Kemuncak Jelajah Selamatkan Felda 2.0 yang dijangka akan diadakan di Bentong esok, dibatalkan oleh penganjur program bersama Pakatan Harapan dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Ini susulan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat hadir dalam program diadakan itu kerana dinasihatkan oleh doktor agar beliau berehat kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Menurut AJK Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika dihubungi memaklumkan Dr Mahathir kini sedang berehat di kediamannya setelah mendapat nasihat doktor mengenai tahap kesihatannya.

“Tun M mengalami batuk dan selsema sejak beberapa hari kebelakangan dan doktor nasihatkan beliau agar berehat dan tidak menggalakkan beliau menghadiri program untuk esok,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan juga memaklumkan program sama akan ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

“Kesihatan Tun adalah ‘keutamaan’ untuk kita sama menjaga dan mendoakan dalam misi menawan Putrajaya.
.
“Pun begitu, pihak Tun sendiri komited akan memaklumkan setelah kesihatannya reda, kerana ‘keutamaan’ adalah kepada program di Bentong dan akan menguruskan jadualnya untuk turun ke Bentong nanti.
.
“Saya berharap seluruh pejuang, pendokong dan rakyat Malaysia mendoakan kesihatan ayahanda Tun Dr Mahathir,” ujarnya.

Jelajah Selamatkan Felda 2.0 bersama Dr Mahathir  itu akan bermula di Felda Lurah Bilut dan Mempaga di Bentong, serta disusuli 30 kawasan Parlimen Felda terpilih.