Dr Malar jelaskan fenomena ‘Pasar Ikhwan di Putrajaya’, kongsi tips atasi masalah lagu tergiang-ngiang di kepala

Oleh WAN SITI AMINAH

Fenomena terdengar lirik yang kerap berulang-ulang kali dalam fikiran seperti ‘Pasar Ikhwan di Putrajaya’ hingga susah untuk dihilangkan sebenarnya dikenali sebagai ‘earworms’.

Menurut pegawai perubatan yang juga personaliti media sosial iaitu Dr Malar Santhi, fenomena earworms ini terjadi apabila minda kerap mengulangi perkara sama tanpa kita sedari.

Dalam satu perkongsian video yang dimuat naik di platform TikTok, Dr Malar berkata bahawa lagu itu akan tetap akan tergiang-ngiang atau bermain di minda meskipun kita tidak menyukainya.

“Sekarang ini, ramai masyarakat Malaysia mengalami masalah earworms. Earworms ini bermaksud satu fenomena yang mana kita terdengar satu lagu dan lagu itu asyik bermain-main di fikiran anda.

“Tetapi anda tak suka pun lagu itu. Walaupun rasa menyampah atau benci, namun tak boleh berhenti. Berulang-ulang lagu itu dalam minda anda. Jadi itu adalah fenomena earworms,” jelasnya.

Dalam perkongsian yang sama, Dr Malar turut mensarankan beberapa kaedah untuk mengatasi masalah earworms supaya lagu tersebut berhenti tergiang-ngiang di telinga anda.

Antara kaedah yang berkesan adalah dengan menyibukkan diri dengan aktiviti lain atau mendengar lagu baharu supaya lirik sebelum ini kerap bermain di fikiran dapat dilupakan.

“Langkah yang pertama, cubalah sibukkan diri dengan aktiviti lain. Cara yang kedua adalah cuba mengabaikan pemikiran tersebut dan janganlah pula rasa terlalu benci sangat.

“Kaedah ketiga adalah yang paling berkesan sebenarnya iaitu dengan cuba dengar lagu lain. Lagu yang anda boleh hafal liriknya dan suka rentaknya. Dengarlah lagu itu kuat sedikit.

“Disarankan juga dengar agak lama sedikit supaya lagu baharu itu pula yang masuk ke dalam minda dan berulang-ulang lagu baharu,” ujarnya dalam hantaran tersebut dengan harapan dapat membantu orang ramai.

Terdahulu, tular di platform media sosial tempatan beberapa rakaman video yang mengandungi lagu dinyanyikan oleh sekumpulan pengikut sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.

Lagu tersebut menjadi fenomena sehingga ada yang mengubah lirik dan nada dalam beberapa ‘genre’ selain memuat naik video parodi berlatarbelakangkan nyanyian kumpulan itu.

Baca juga: Rabbani akui pernah belajar di Darul Al-Arqam, ini pendapat anggota tentang GISBH