Dr Malar tegur wanita Islam tentang pakaian tema Bollywood, jangan berlebihan sampai terikut hiasan agama Hindu

Oleh KIM SYAZIE

Kepetahan berkongsi pelbagai maklumat berkaitan pandemik Covid-19, dan masalah kesihatan dengan pertuturan bahasa Melayu yang fasih, sekelip mata sahaja Dr Malar Santhi mendapat perhatian masyarakat dan diakui dekat di hati semua rakyat Malaysia.

Terbaru, pakar perubatan ini tampil dengan video yang memberi teguran kepada wanita Islam agar tidak tersasar dan melebihi batas ketika menggayakan pakaian yang bertema Bollywood.

Dr Malar berkata, tiada masalah untuk seseorang mengenakan pakaian seperti sari, gelang, rantai dan perhiasan-perhiasan lain yang diguna wanita Hindu.

Bagaimanapun, beliau khuatir terdapat sebahagian besar wanita Islam yang tidak tahu membezakan budaya serta komponen agama Hindu itu sendiri ketika mengenakan pakaian dan perhiasan tema Bollywood.

Katanya, ada yang terlepas pandang sehingga mengenakan hiasan calitan di dahi (pottu) yang sebenarnya merupakan lambang agama mereka yang tidak sepatutnya diguna wanita Islam.

“Saya terpanggil untuk tegur sedikit apabila ramai yang mengenakan pakaian tema Bollywood ini terutamanya wanita Islam.

“Kalau anda nak pakai tikka (seperti rantai) di atas dahi dan kepala, pakai sari, pakai rantai cantik, subang, gelang itu tidak ada masalah kerana itu adalah budaya

“Tetapi saya ada tengok rakan-rakan beragama Islam ada pakai pottu (tanda merah atau hitam di dahi). Tak boleh ye guys kerana pottu ini adalah agama Hindu.

“Sepatutnya pottu berwarna merah dipakai oleh wanita sudah berkahwin dan warna hitam untuk yang belum, dan khusus untuk yang beragama Hindu, tapi ini pun agak berubah mengikut kawasan geografi mereka di India,” jelasnya.

Selain pottu, Dr Malar juga memberitahu bahawa Sindoor di bahagian kepala atas juga tidak boleh digunakan wanita Islam kerana ia merupakan agama Hindu.

Bindi atau pottu merupakan tanda bulat berwarna merah atau orange yang diletakkan tepat di dahi, atau di antara dua alis perempuan. Sedangkan Sindoor merupakan tanda merah marun yang diletakkan pada belahan rambut kepala atas.

Dalam pada itu, Dr Malar menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika menggayakan pakaian tema Bollywood bimbang jatuh apa-apa hukum yang bertentangan dengan syariat Islam.

“Cuma sebagai seorang yang beragama Hindu yang banyak berkawan dengan kawan-kawan Islam, saya tahu bagaimana kawan-kawan saya sangat menjaga hukum syirik, hukum murtad, hukum haram.

“Jadi berhati-hati bila anda mengenakan tema Bollywood jangan sampai tersasar. Ambil yang bangsa dan budaya sahaja, berhati-hati dengan komponen agama Hindu,” tegasnya lagi.

Baca juga: “Sampai di hospital saya terus bertanyakan cucu, tak sangka mereka ‘pergi’ serentak” luah bapa mangsa kemalangan

Baca juga: Menitik air mata ibu dapat tahu jadi penerima hibah RM400,000 lepas anak sulung pergi selamanya