Malaysia Dateline

Dr Mariah akui kes tinggi di Selangor kesan ujian saringan besar-besaran

Exco Kesihatan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud tidak menafikan bahawa usaha kerajaan negeri yang melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran antara faktor negeri itu merekodkan peningkatan bilangan kes positif Covid-19.

Beliau berkata, atas sebab itu juga Selangor berjaya mengesan kes-kes positif yang tidak bergejala yang berpotensi menjadi pembawa senyap dalam masyarakat.

“Ya, pada satu tahap tertentu, betul (bahawa ujian saringan besar-besaran faktor peningkatan kes).

“Tapi pada masa yang sama kes kita jadi lebih tinggi kerana kita giat buat pengesanan kontak (contact tracing).

“(Dengan itu), kerajaan Selangor dapat membantu mengesan kes positif tidak bergejala yang berpotensi menjadi pembawa senyap,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Terbaru, Mariah berkata, dalam lapan saringan yang dilakukan di beberapa Dun dalam daerah Hulu Langat, seramai 8,500 individu telah disaring dan berjaya mengesan sebanyak 388 kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga itu berkata, kes positif dalam daerah tersebut dicatatkan sekitar 5 peratus yang menurutnya jika tidak menjalani kuarantin, berpotensi menjadi punca jangkitan kepada masyarakat luar.

Selain itu beliau menegaskan, kelewatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan pengesanan kontak pada peringkat awal juga menyumbang kepada peningkatan statistik kes di negeri itu.

Justeru katanya, untuk memutuskan rantaian jangkitan menjadi lebih rumit, apatah lagi apabila kuarantin kendiri longgar dan prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.

“Lagi satu sebab kes kita tinggi adalah ‘contact tracing’ oleh KKM lambat. Ini kerana KKM hanya fokus kepada kontak rapat dahulu dan lapisan seterusnya lambat sedikit kerana kekangan kakitangan.

“Jadi bila kontak tidak disaring awal dan mereka bergerak dalam masyarakat, berpotensi menyebar virus dengan kontak mereka pula,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, hari ini sahaja Selangor mencatatkan 1,743 kes, diikuti Sarawak (512 kes), dan Kuala Lumpur (477 kes).

Mengulas lanjut, Mariah menegaskan bahawa orang ramai perlu tahu perbezaan peranan kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jelasnya, negeri hanya melakukan kerja-kerja sokongan, manakala dasar dan perlaksanaannya di gerakkan oleh KKM itu sendiri.

Bahkan, kerajaan negeri tidak mempunyai data untuk mengesan kontak pesakit dan kerana itu pasukan mereka melaksanakan saringan dalam komuniti supaya individu yang mempunyai sejarah kontak sama ada kontak rapat mahupun kasual, boleh disaring.