Malaysia Dateline

Dr Mariah seru Melayu bersusah demi senang pada masa mendatang

Berbaki kurang 48 jam tempoh berkempen, Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional,  Dr Siti Mariah Mahmud mengetengahkan isu perubahan pemikiran dalam ceramah kelompok di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Durian malam tadi.

Exco kerajaan negeri Selangor itu menyifatkan masyarakat Melayu khususnya perlu bersusah payah pada peringkat awal untuk manfaat jangka panjang.

Menurutnya, amalan BN sepanjang lebih 60 tahun menguasai kerajaan Persekutuan yang cenderung melambakkan pelbagai habuan bersifat jangka pendek pada ketika berleluasanya ketirisan akhirnya hanya merugikan masa depan orang Melayu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Serdang itu menegaskan Pakatan Harapan (PH) cuba untuk melakukan perubahan dengan praktik pengurusan kewangan kerajaan yang amanah demi kepentingan generasi akan datang.

“Kita nak buat dengan cara betul. Orang Melayu perlu kena ubah paradigma pemikiran kita.

“Kalau tidak ada pengorbanan pada peringkat awal, akhirnya tidak berjaya. Kita mahu sikap orang politik dan masyarakat berubah.

“Kalau kita lihat polisi kerajaan sejak negara merdeka, terlalu banyak agensi kerajaan yang menolong Melayu tetapi ramai pemegang-pemegangnya tidak amanah termasuk kakitangan.

“Kebanyakannya santai buat kerja. Semuanya ada (agensi membantu masyarakat Melayu sama ada di peringkat pusat dan negeri), apa yang tiada? Padahal, itu semua dipegang oleh bangsa (Melayu) kita,” tegasnya.

Sehubungan itu, doktor perubatan tersebut menggesa agar generasi muda Melayu terutamanya bekerja keras mulai sekarang agar tidak hidup susah pada masa tua.

“Begitu juga kita hari ini, generasi muda kena faham kalau tidak mahu sakit sekarang, masa depan jadi lebih teruk nanti.

“Contohnya, kami (kerajaan negeri Selangor) berkempen kurangkan penggunaan pembungkus plastik.

“Kalau orang Cina, mereka bawa beg pakai semula tetapi majoriti Melayu tidak begitu. Kita lebih suka senang hari ini, bukan senang pada masa depan,” ujar Dr Siti Mariah lagi.

PDM Sungai Durian antara 16 PDM di N.56 Kukup manakala N.55 Pekan Nanas mempunyai 11 PDM menjadikan keseluruhannya berjumlah 27 PDM dengan 125 saluran mengundi.

Parlimen Tanjung Piai yang terletak di penghujung Benua Asia itu terdiri daripada 26,271 pengundi wanita iaitu 49.48 peratus daripada keseluruhan 52,986 pengundi.

Seramai 1,019 petugas pilihan raya terlibat dalam PRK P.165 Tanjung Piai yang merupakan PRK kali kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).