Malaysia Dateline

Dr Maza akan dilantik Mufti Wilayah?

Khabar angin kini bertiup kencang bahawa Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainol Abidin akan dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru.

Menurut sumber, Mohd Asri akan menggantikan Datuk Dr Zulkifli Mohd Albakri yang kini sudah dilantik sebagai Menteri Agama.

“Saya dapat maklumat Dr Maza akan dilantik sebagai Mufti Wilayah,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline.

Mohamad Asri telah dilantik semula sebagai Mufti Perlis pada Januari 2015 yang lalu bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun 2014.

Mohd Asri, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 Nov 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.

Selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Mufti Perlis, beliau kembali menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.