Malaysia Dateline

Dr Mohd Naim dilantik Ketua Pengarah JKSM

Bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dilanti sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu.

Dalam satu kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu.

“Tahniah YAA Datuk Dr Mohd Na’im di atas pelantikan ini. Semoga JKSM terus cemerlang dan efisien di bawah pentadbiran beliau,” ujarnya kenyataan ini.

Dalam satu pertemuan ringkas dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah menyerahkan watikah pelantikan Dr Mohd Naim hari ini.

Dr Mohd Na’im sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Beliau pernah menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Beliau juga pernah dilantik sebagai profesor adjung oleh Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2012.

Kepakaran beliau turut diperakui dunia luar apabila dilantik sebagai Cheavening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre For Islamic Studies, Universiti Oxford, United Kingdom bagi tahun 2008/2009, Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan berkhidmat di Universiti Harvard pada Februari 2013 sehingga Mei 2013.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah undang-undang di UIAM pada 1990 hingga 1997 dan selepas itu, beliau menjadi peguam syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta menjadi peguambela dan peguamcara Malaya pada tahun 1997 hingga 1998.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Daerah Petaling sehingga tahun 2001, Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dari tahun 2001 sehingga 2003 dan menjadi pendakwa syarie kanan di Jabatan Wilayah Persekutuan Agama antara tahun 2007-2008.

Dr Mohd Na’im juga menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah Bank-bank Islam tempatan dan luar negara serta beberapa syarikat takaful.