Malaysia Dateline

Dr muda bukan Islam terpana dengan doa mangsa Covid-19

Seorang Doktor Cina, Wilson Tiang terpana dengan keikhlasan seorang pesakit yang mendoakannya ketika sedang menjalankan tugas tanpa mengira soal kaum dan agama.

Dalam muatnaik status Facebooknya yang mendapat perkongsian sebanyak 3,600 kali, Wilson menceritakan keadaan di mana ketika itu dia bertugas dan sedang melakukan rondaan seawal jam 5 pagi.

“Ketika itu saya sedang buat rondaan di awal pagi dalam sekitar jam lima pagi.

“Seorang pakcik sedang bersiap-siap untuk sembahyang Subuh, dan saya menunggu sehingga dia selesai solat.

“(Saya bertanya) Pakcik, rasa okay kah? (sambil mengira kadar pernafasan di nadinya menggunakan tangan),” tulisnya.

Katanya lagi, ketika dia sedang mengira nadi dan kadar pernafasan pesakit berkenaan, pesakit itu meletakkan tangan di atas tangannya dan mendoakan agar dia dijauhi dari penyakit tersebut.

Luah Dr muda itu, doa tersebut yang membuatkan pengorbanannya terasa bernilai.

“Pakcik letak tangan dia atas tangan saya dan kemudian dia berdoa untuk saya ‘Ya Allah, lindungilah doktor muda ini dari terkena penyakit ini’.

“Dan itu yang membuatkan perjuangan kami bernilai,” katanya dalam posting tersebut yang mendapat perhatian dengan 13,000 tanda suka.