Malaysia Dateline

Dr Mujahid menang saman fitnah, ulama Pas Dusuki Rani diperintah bayar kos RM11,000

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini telah menolak Saman Fitnah yang difailkan oleh Ustaz Dusuki Rani terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berhubung dengan dakwaan isu penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.

Mahkamah juga mengarahkan Ust Dusuki membayar kos sebanyak RM11,000.00 kepada Dato Seri Dr Mujahid.

Saman Fitnah ini difailkan oleh Dusuki rentetan daripada twitter Dr Mujahid pada 22 November 2020.

“Seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa…berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri…hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya…Allahu Mustaan,” tulis Mujahid menerusi akaun twitter beliau.

Tweet di atas ditulis rentetan daripada tersebarnya video ceramah Ustaz Dusuki Rani yang mendakwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.

Mahkamah ketika memberikan keputusannya hari ini antara lain memberikan alasan-alasan penghakimannya memutuskan pernyataan dalam twitter Dr Mujahid bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Mahkamah juga memutuskan, pembelaan justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat yang digunapakai oleh Defendan adalah pembelaan yang terpakai dalam kes ini.

Ini kerana defendan yang merupakan bekas Menteri Agama bertanggungjawab terhadap hal-ehwal pengurusan dan penjalanan Tabung Haji mempunyai suatu tanggungjawab moral dan sosial, dan atas dasar kepentingan awam yang, pernyataan dalam twitter itu dibuat berasaskan kepada fakta yang benar dan terbukti.

Sebagai bekas Menteri Agama, Defendan juga bertanggungjawab untuk memberitahu hal sebenar tentang Tabung Haji supaya Tabung Haji tidak lagi disalahanggap sebagai institusi yang memanipulasi harta orang Islam.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kota Bharu juga menolak saman Dusuki terhadap Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Jeming atau Hazmi Hassan dalam isu yang sama. Dusuki diperintahkan membayar kos RM10,000 kepada Jeming.