Malaysia Dateline

Dr Noor Hisham nafi bekalan ubat berkaitan rawatan Covid-19 terputus

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan bekalan ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya.

Sebaliknya, beliau memberitahu, bekalan tersebut diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

Menurutnya, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan Covid-19 telah meningkat secara drastik sejak Mei lalu ekoran kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Jelasnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan pandemik itu di hospital awam.

“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19.

“KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” kata Dr Noor Hisham lagi.