Malaysia Dateline

Dr Noor Hisham nafi jururawat meninggal dunia ada kaitan vaksin Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan kematian seorang jururawat yang menerima suntikan vaksin Covid-19 minggu lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

Menurutnya, kematian pada jam 2.45 pagi semalam itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin yang diterima wanita berusia 45 tahun itu pada 12 Mac lalu.

“Jururawat berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung lima hari selepas vaksinasi, tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jururawat itu mempunyai rekod penyakit darah tinggi.

“Hasil temu bual bersama suami wanita itu mendapati, isterinya bertugas di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang selama hampir 20 tahun.

“Pada 12 Mac lalu, wanita itu menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja. Dia mengadu lenguh badan dan sehingga 16 Mac (Selasa) dia masih mengadu sakit seluruh badan dan sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, wanita berkenaan mengadu sakit badan dan masuk ke bilik untuk tidur pada jam 11.30 malam Selasa, namun suaminya menyedari dia tidak memberi sebarang respons ketika dikejutkan beberapa jam kemudian.

“Berikutan itu, suaminya menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan setibanya pasukan perubatan di rumah mereka, pemeriksaan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia,” jelasnya lagi.