Dr Rani patut tarik diri selepas sertai majlis sokong calon Amanah, kata Kit Siang

Dr Rani patut tarik diri selepas sertai majlis sokong calon Amanah, kata Kit Siang

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar calon Pas Dr Rani Othman menarik diri dari bertanding selepas kehadirannya ke majlis sokongan kepada calon Pakatan Harapan oleh Menteri Besar Selangor semalam.

Lagipun, bagi ahli politik veteran itu, suasana sekarang menunjukkan beliau tidak mempunyai peluang untuk menang dalam pilihan raya ini.

“Lagi pun, saya secara terbuka boleh jangkakan calon Pas akan akan kehilangan kira-kira 10,000 undi dalam pilihan raya kecil ini berbanding dengan undi yang diperolehi oleh Pas dalam pilihan raya umum 2013 lalu, satu jangkaan yang pemimpin Pas tidak akan berani untuk menafikannya,” kata ahli parlimen Gelang Patah itu.

Oleh itu, katanya, cara terbaik untuk menyelesaikan hal ini adalah dengan cara memastikan Umno dan BN dikalahkan dalam pilihan raya Sungai Besar ini.

“Cara terbaik adalah dengan cara Dr Rani menarik diri dari bertanding PRK Sungai Besar untuk memastikan satu lawan satu berlaku dalam pengundian Sabtu ini,” katanya.

Beliau memberikan tiga sebab mengapa Dr Rani perlu menarik diri untuk memastikan calon Amanah, Azhar Ab Shukur memberikan pukulan hebat kepada Datuk Seri Najib Razak dan Umno/BN serta menyelamatkan Malaysia.

Pertama, Pas hanya berperanan sebagai pengacau undi sahaja kerana tidak mungkin Pas akan menang.

Yang kedua adalah Pas berada di tempat ketiga sekarang dan satu-satunya cara untuk kalahkan Bn adalah kesemua pengundi dan parti-parti politik bersatu di belakang calon Amanah.

Yang ketiga, Dr Rani patut hero dan menjadi contoh kepada pemimpin, ahli dan penyokong Pas pentingnya perpaduan untuk menyelamatkan negara ketika negara hadapi krisis besar di mata dunia.

COMMENTS

Wordpress (0)