Malaysia Dateline

Dr Razali Nawawi dengan Memoir Erti Kehidupan

Ustaz Dr Razali Nawawi merupakan pensharahku sewaktu di AIKOL (Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law – IIU) dahulu. Aku bertuah kerana sempat menjadi anak murid terakhir beliau untuk Master of Comparative Laws (MCL) bagi subjek Islamic Law of Obligations (ILO). Aku katakan anak murid terakhir kerana subjek ILO itu aku ambil ketika semester pertama 2008 manakala Ustaz Razali bersara dari UIAM pada 31 Disember 2008.

Ustaz Razali memang terkenal kerana sikapnya yang suka menongkah arus dan membawa pembaharuan dan perrrrrobahan demi dakwah dan pendidikan. Sebahagian contoh menongkah arus ini diabadikan di dalam memoir beliau Erti Kehidupan: Memoir 80 Tahun. Sebenarnya susah nak cari aktivis dakwah semacam beliau lagi di waktu sekarang.

Tanpa beliau, tidak mungkin Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) menjadi AIKOL dan tidak mungkin ada double degree Shariah. Selaku dekan pertama AIKOL, beliaulah yang menebang pokok dan menebas lalang, hasilnya kita nikmati sehingga ke hari ini selepas puluhan tahun.

Ustaz Razali yang kita kenali bukan sahaja sudah tidak dapat melihat, namun turut diuji dengan kanser prostat dan dijangkiti Covid-19 baru-baru ini. Bagaimana kanser prostat tahap 4 boleh sembuh juga menakjubkan. Aku difahamkan beliau makan tapai ubi setiap hari, di samping ikhtiar membaca ayat-ayat syifa’ tertentu.

Maha suci Allah, umur beliau masih panjang lagi sehingga ke hari ini, sungguh menakjubkan. Difahamkan penghasilan memoir ini dan satu lagi buku Erti Perjuangan juga merupakan bingkisan yang beliau ingin tinggalkan sebelum beliau dijemput Ilahi.

Bahagian sensasi dalam memoir ini tentulah mengenai usaha beliau mendamaikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Meskipun cubaan itu berhasil namun setelah Pakatan Harapan memerintah, hubungan itu retak semula dan jadilah seperti apa yang terjadi sehingga ke hari ini.

Turut menarik apabila beliau mendapat tawaran dari Datuk Asri Haji Muda untuk bertanding di Pasir Mas pada PRU 1964 namun beliau terpaksa menolaknya kerana ingin melanjutkan pengajian sarjana Syariahnya di Universiti Al-Azhar.

Memoir ini tidaklah sepenuhnya ‘lumat’ kerana ada bahagian yang ‘hilang’, misalnya tahun 2009 terus langkau ke tahun 2017, juga momen-momen bersejarah lain seperti sejarah perpindahan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ke Universiti Malaya setelah tidak jadi ke UKM. Masih banyak bahagian hidupnya yang boleh digali dan dihuraikan.

Memoir ini mesti dimiliki oleh para lepasan Maahad Muhammadi, Kolej Islam Malaya, Fakulti Pengajian Islam UKM dan AIKOL.

Satu memoir yang penuh motivasi dan memberi inspirasi. Boleh dapatkan buku ini dari ILHAM Books / Balai Ilham.


Diambil dari catatan penulis dalam Facebook beliau.