Dr Sahruddin Jamal angkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor

Dr Sahruddin Jamal angkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor
Adun Bukit Kepong Sahruddin Jamal dilantik Menteri Besar ke-17 hari ini.-Foto Rouyal Press Office.

Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong itu menerima surat tauliah pelantikan dan melafaz sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, pada majlis yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, 9.30 pagi tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan menantu Sultan Ibrahim Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Dr Sahruddin, 43, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lepas.

Dr Sahruddin sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor.

Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Dr. Sahruddin yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan Negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Negeri Johor.

“Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang,”titahnya.

Sultan Ibrahim turu menasihatkan kerajaan supaya janganlah membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

“Tumpukanlah perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Negeri Johor.

“Kedaulatan Negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia.

“Semoga Negeri Johor terus maju, makmur dan diberkati,” titahnya lagi.