Malaysia Dateline

Dr Sharuddin dipuji pertahan suara rakyat

Tindakan Ahli Parlimen Sri Gading, Dr Sharuddin Mat Salleh yang dilihat mengekalkan prinsip mempertahankan mandat rakyat pada PRU-14 mendapat pujian parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Noor Khalim Sakib

Pengarah Komunikasi AMANAH Johor, Noor Khalim Sakib berkata mandat yang diberikan rakyat pada PRU 14 kepada H menjadi keutamaan bagi setiap wakil rakyat di negara ini.

“Syabas Dr Sharuddin kerana mempertahankan mandat yang diberikan rakyat. Kita mahu demokrasi di negara ini terus subur bukan pentadbiran yang dicatur oleh pemimpin tertentu sahaja.

“Tindakan beliau sehingga dipecat oleh partinya (Bersatu) adalah disebabkan semangat beliau mempertahankan prinsip suara rakyat yang telah membuat pilihan.

“PRU adalah suara rakyat untuk mereka menentukan siapakah yang mereka mahukan untuk menjadi pemimpin mereka.

“Keputusan telah dibuat oleh rakyat dengan membuang Barisan Nasional (BN) dan mengangkat Pakatan Harapan (PH) sebagai peneraju di negara ini. Perkara ini tidak boleh dikhianati,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Kelmarin, Dr Sharuddin dipecat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas tindakannya yang dikatakan bercanggah dengan parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Noor Khalim menyifatkan pendirian Dr Sharuddin bersama PH menunjukkan bahawa masih wujud Ahli Parlimen berprinsip di negara ini.

“Kita mahu sedarkan pemimpin yang tidak melihat hal ini secara realiti. Tindakan Sharuddin ini menggambarkan bahawa dirinya seorang yang berprinsip menegakkan suara rakyat yang memilihnya menggunakan logo PH.

“Saya juga berharap ada lagi golongan mereka di dalam Bersatu serta parti yang lain mengambil langkah sama untuk menunjukkan sikap berprinsip dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat,” ujarnya.

Apa yang penting, tambahnya lagi, suara rakyat di negara ini tidak harus diabaikan kerana ketamakan sesetengah pemimpin yang mahukan mandat serta menyelamatkan diri mereka daripada terhukum akibat salah laku sebelum ini.