Malaysia Dateline

Dr Siti Mariah mahu peranan wanita dalam dunia politik diiktiraf

Peranan wanita tidak harus disempitkan dengan pemikiran ‘kuno’ dan sikap prejudis yang menganggap kaum Hawa hanya layak memimpin golongan mereka sahaja hingga meminggirkan kebolehan dalam dunia politik.

Hal itu ditegaskan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud yang mengingatkan bahawa peranan wanita tidak harus dipandang sepi terutama terhadap kebolehan generasi muda untuk memimpin.

Justeru tegasnya, keberanian para pemimpin meletakkan kepercayaan kepada anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan pada masa mendatang perlu seiring untuk mendapatkan keberanian wanita memimpin.

Dr Siti Mariah yakin wanita mampu mendapat angka lebih tinggi daripada 30 peratus pembuat keputusan.

“Dapat dilihat wujudnya jurang generasi yang agak besar dalam dunia kepimpinan mungkin disebabkan budaya kerja yang berbeza antara dua generasi.

“Namun, dalam isu ini saya menyeru kepada semua pimpinan senior untuk meletakkan objektif di hadapan, dan perlu meyakini, sesuatu objektif itu mampu dicapai dengan banyak cara walau terkadang ianya berbeza dari pendekatan yang selama ini kita lakukan.

“Perkara yang lebih mustahak adalah kita terus memberdaya golongan wanita muda ini untuk bergerak lebih jauh ke hadapan.

“Saya cukup yakin, dengan kepercayaan yang kita taruhkan beserta sedikit panduan dari pengalaman kita, wanita pasti akan mampu terbang lebih tinggi menuju puncak kejayaan,” ujarnya.

Dr Siti Mariah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor berkata demikian semasa ucapannya dalam Majlis Perasmian Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) kali keempat, di Bangi Convention Centre, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Dr Hassan Baharom; Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim.

Sementara itu, kata Dr Siti Mariah, masyarakat dan kerajaan terutamanya, perlu berganding bahu mencipta ‘tanah’ yang sama rata untuk wanita terus ke hadapan.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu turut mengakui bahawa golongan wanita sering berdepan cabaran dilabel sebagai kelompok yang mementingkan diri dan mengabaikan tanggungjawab berkeluarga.

Lebih malang, tegasnya, keterlibatan mereka dilihat seolah-olah sebagai satu kesalahan dan dosa, sedang hakikatnya wanita jugalah yang dikejar apbila tiba waktu pilihan raya.

“Mahukah kita mengimbau sirah yang seringkali mencatat sumbangan besar para wanita? Dari bidang ekonomi, perkembangan ilmu, malah di medan perang, wanita tetap ikut serta.

“Saidatina Khadijah sebagai ahli perniagaan berjaya, Saidatina Khaulah umpama Sang Panglima, malah Saidatina Aisyah laksana Mufti pada zamannya.

“AMANAH sebagai sebuah parti Islam, perlulah terlebih dahulu membuktikan kata-katanya. Di mana ke depan ini, perlu lebih ramai lantikan kepimpinan AMANAH Nasional, Negeri dan Kawasan daripada kalangan Wanita.

“30 peratus wanita pembuat keputusan bukannya kuota, tetapi hanyalah sasaran minimum. Kami yakin kita mampu memperoleh angka yang lebih lagi, jika diberi ‘padang perlawanan’ yang sama rata.

“Wanita telah membuktikan, mampu memberi khidmat pada tahap maksimum,” tegas Dr Siti Mariah lagi.

Konvensyen AWAN Nasional yang bersambung hari ini dengan mesyuarat pemilihan menyaksikan seramai 45 calon merebut 27 jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan AWAN bagi sesi 2019 hingga 2022.

Antara perwakilan AWAN yang memenuhi Bangi Convention Centre malam tadi.