Dr Xavier jamin isu bekalan Air Selangor selesai dalam tempoh sebulan

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar tiba di pejabatnya pada hari pertama bertugas di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli hari ini.–foto Bernama.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar hari ini memberi jaminan isu air yang telah berlarutan sejak sekian lama di Selangor akan selesai dalam tempoh sebulan.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung perkara itu dan sehingga kini, tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Hanya sedikit yang belum disetujukan namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Saya akan minta jemaah menteri untuk lanjutkan tempoh sebulan lagi,”katanya pada sidang media hari ini seperti dipetik Bernama.

Dr Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, melapor diri di Wisma Sumber Asli hari ini selepas mengangkat sumpah setelah dilantik menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Azizan Ahmad dan ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan kerajaan negeri Selangor hanya menyelesaikan pengambilalihan tiga syarikat konsesi air yang lain.

Mengulas lanjut, Dr Xavier Jayakumar berkata tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor sepatutnya berakhir esok (4 Julai).

Ketika ditanya mengapa isu air Selangor berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, beliau yang sebelum ini menjadi anggota Exco negeri Selangor dan pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Mentah Selangor sejak 2014 itu enggan mengulas lanjut namun berkata kesemua pihak terlibat menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan segera isu berkenaan.

“Jangan kita bincangkan tentang masa lalu, tetapi lihat ke masa depan, saya rasa kita bersedia untuk menyelesaikan masalah ini yang telah berlarutan. Semua pihak bersedia untuk menyelesaikannya dalam masa sebulan,” katanya.

Dr Xavier Jayakumar berkata jaminan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PKR itu berkata tempoh moratorium aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang sepatutnya berakhir 30 Jun, dilanjutkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ketika ditanya perasaan beliau mengenai hari pertama memasuki pejabatnya hari ini, beliau berkata: “saya sangat gemuruh” dalam nada bergurau, dan berkata beliau bersemangat untuk bertugas.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0