Dr Zakir Naik sambut baik titah Agong

Dr Zakir Naik sambut baik titah Agong

 

Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik menyambut baik titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung prinsip Rahmatan Lil Alamin yang diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau membuat pandangan itu susulan pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa siang tadi.

Pegawai tugas-tugas khas kepada Dr Mujahid, Hisham Fauzi memaklumkan, Dr Zakir memberi respon positif terhadap tiga gagasan yang dibawa pentadbiran PH, iaitu ‘Rahmatan Lil Alamin’, ‘Maqasid syariah’ dan ‘Model Malaysia’, dan juga masalah berita palsu yang dilihat semakin serius di negara ini.

Katanya, dia (Dr Zakir Naik) juga pernah menjadi mangsa berita palsu dan disebabkan berita tidak benar itu, pendakwah bebas tersebut dicari di negaranya.

“Dr Zakir juga berkata, berdasarkan tiga gagasan ini, beliau berpendapat kita perlu konsisten dalam melaksanakannya, yang selebihnya perlu berdoa kepada Allah semoga segalanya baik-baik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai intipati pertemuan antara Dr Mujahid dan Dr Zakir Naik.

Terdahulu, Dr Mujahid mengadakan pertemuan dengan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

Pertemuan tertutup itu diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara dan berlangsung kira-kira sejam pada tengah hari tadi.