Malaysia Dateline

Dr Zulkifli diminta jalankan tugas sebagai menteri bukan mufti lagi

Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri diminta berfikir dan bertindak sebagai seorang menteri sekarang bukannya sebagai seorang mufti lagi sebagaimana sebelum ini.

Ini berikutan kenyataan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu selepas terdedahnya tragedi 40 tahun penduduk negara ini memakan daging import tanpa kesahihan status halal atau haramnya.

“Bila dah jadi menteri, orang tidak lagi bertanya tentang status halal atau haram. Itu kerja mufti.

Jamzuri Ardani kolumnis
JAMZURI ARDANI

“Sebagai menteri kena fikir tentang akauntabiliti, tentang ketelusan, tentang kebocoran sistem dan tentang rules of law,” kata Jamzuri Ardani, penulis dan aktivis politik ketika mengulas kenyataan Dr Zulkifli sebelum ini.

Bagi beliau, apabila menteri masih berfikir seperti seorang mufti pun masalah juga.

“Isunya bukan soal yakin atau tidak untuk makan daging import. Isunya bagaimana perkara itu boleh terjadi dan apa langkah pembaikan yang telah dilakukan.

Siapa yang harus dipertanggungjawabkan?” kata beliau menerusi facebook beliau.

Dr Zulkifi dalam satu laporan media semalam berkata, terserah kepada umat Islam untuk memakan daging import atau tidak selepas semua perkara telah dijelaskan oleh kerajaan menerusi Dewan Negara kelmarin.

“Bagaimanapun, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Saya berdoa pada Allah SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu semalam.

Zulkifli mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.