Drama aksi lucah bakal siar bulan Ramadan terus dikecam, Menteri Agama hela nafas panjang

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai terus mengecam drama aksi lucah berjudul ‘Perempuan Itu’ yang akan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini.

Drama mengandungi babak mengghairahkan lakonan Zul Ariffin dan Siti Hariesa itu turut mengundang reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Menteri Pas itu dalam reaksinya memberitahu beliau menghela nafas panjang dan akan menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara tersebut boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

Rata-rata warganet menyifatkan babak menyerupai adegan dalam filem porno dalam drama arahan Erma Fatima itu sebagai amat melampaui batas dan mencemar kesucian bulan Ramadan.

Serangan orang ramai di semua media platform sosial itu tercetus selepas Zul Ariffin, 36, memuat naik ‘teaser’ drama itu pada 18 Mac lalu.

Babak melampau itu memaparkan aktor berkenaan membuka baju, mendukung Siti Hariesa selain babak mereka saling menyuap krim putar dalam keadaan mengghairahkan.

“Drama hebat di TV3 sempena bulan Ramadan! Lakonan ‘hebat’ Zul Ariffin dan diarahkan oleh pengarah terkenal, Erma Fatima.

“Tahniah saya ucapkan kepada penerbit, pengarah, para pelakon, krew produksi serta TV3 kerana mengangkat genre pornografi dalam drama. Barulah Malaysia mendunia!” sindir Akhi Fairuz.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/semoga-kak-lah-terus-bimbing-diri-ustaz-idris-kembali-ke-pangkal-jalan/