Drama Altantuya pengakhiran episod yang tiada kesudahan

Drama Altantuya nampaknya masih belum berakhir, episodnya semakin “mengancam” dan plotnya semakin mendebarkan, terutamanya terhadap watak yang terlibat dalam pengarahan drama tersebut, apa lagi penulis skrip yang menjadi pencatur dalam menggerakkan plot drama tersebut. Berdasarkan senario yang berlaku, siri drama Altantuya ini tidak mudah untuk ditamatkan. Meskipun terdapat usaha untuk menamatkan episodnya, namun agak sukar untuk direalisasikan, memandangkan misteri disebalik rentetan drama tersebut masih belum terbongkar sepenuhnya. Ceritanya masih tetap hidup. Penggarapanya akan terus direncanakan, bergantung kepada bentuk warna kanvas yang dipaparkan.

​Altantuya masih tetap hidup, semangatnya masih tetap bergentayangan menuntut kebenaran di atas kematian tragisnya. Walau pun pelakunya telah dijatuhi hukuman, namun bukan bermakna berakhirnya episod drama tersebut, pelbagai plot baru wujud dalam “papan cerita’. Jalan ceritanya juga semakin dramatik, apabila melalui pendedahan akuan berkanun (SD), mengaitkan peristiwa pembunuhan Altantuya (mangsa) itu dengan Najib Razak yang dikatakan sebagai watak yang mengarahkan pembunuhan tersebut dilakukan atas alasan “perisik asing” yang boleh membahayakan keselamatan negara.

​Bagaimana pun Najib Razak, telah menafikan penglibatan beliau dalam drama Altantuya ini, bahkan Najib Razak juga menegaskan bahawa beliau juga tidak mengenali perempuan bernama Altantuya. Anaknya juga menafikan akan keterlibatan Najib Razak, dengan menegaskan; “bapa saya bukan seorang pembunuh,” namun dalam SD Azilah Hadri (pelaku) tidak pula dinisbahkan Najib Razak sebagai pembunuh. Berdasarkan SD tersebut dinyatakan; “TPM kemudiannya mengarahkan saya untuk jalankan operasi sulit untuk tangkap dan hapuskan perisik tersebut dengan sulit dan musnahkan mayatnya.”

​Bermakna, peranan Najib Razak adalah “mengeluarkan arahan,” bukan pelaku yang menyebabkan kepada terjadinya pembunuhan, pembunuh sebagai pelaku  sebenar adalah Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, sebagaimana dikenal pasti mahkamah yang telah sedia menjatuhi hukuman kepada kedua-dua pelaku tersebut. Namun demikian, antara individu yang mengarah melakukan pembunuhan dengan individu-individu yang secara mutlak melakukan pembunuhan, hakikatnya secara bersama menanggung beban tanggungjawab moral, sama ada dalam konteks perundangan atau pun dalam konteks pandangan sosial.

​Maka berdasarkan hakikat inilah SD ini telah menimbulkan “kegemparan,” khususnya terhadap pihak yang terkait secara langsung, mahu pun yang terkait secara tidak langsung. Sebagaimana dengan Jho Low, Najib Razak dalam beberapa kenyataannya menafikan mengenali Jho Low, begitu juga dengan Altantuya, standard penafian Najib adalah tidak mengenali wanita Monggolia tersebut. Penafian Najib Razak adalah sah, sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Sebagai memperkukuhkan penafiannya, Najib Razak telah bersedia melakukan sumpah laknat, meski pun telah dipersoalkan oleh beberapa individu agamawan.

​SD ini telah menarik minat banyak pihak, tidak terkecuali bekas Ketua Polis Negara (KPN)  yang telah membuat sidang akhbar khas. Persoalannya, apakah keperluan untuk bekas KPN membuat sidang media dalam kes yang berkaitan dengan SD ini? Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan, memperlihatkan kecenderungan secara tersirat bekas KPN untuk mempertikai SD Azilah Hadri, boleh difahami melalui penegasannya bahawa, “fakta-fakta kadangkala termasuk fiksyen, bukan fakta sebenar.” Juga dinyatakan siasatan polis, “tidak menunjukkan ada penglibatan Dato’ Seri Najib..”  Menurut bekas KPN plot cerita Altantuya ini telah disensasikan dengan berita-berita yang tidak benar, “satu percubaan untuk mengaitkan dengan seseorang.”

​Manakala Peguam Najib Razak yang mengendalikan kes syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) mendakwa Azilah Hadri telah dibawa keluar daripada penjara untuk bertemu dengan orang kenamaan, dinisbahkan bahawa seolah-olah SD Azilah Hadri tersebut dibuat atas konspirasi yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu, khususnya dalam kalangan orang kenamaan.

Namun spekulasi peguam Najib tersebut telah dinafikan oleh pihak penjara. Walau apa pun situasi yang melahirkan SD tersebut kandungannya telah dengan jelas membabitkan Najib Razak, maka adalah wajar SD tersebut disiasat akan ketulenannya, sebagaimana juga disuarakan oleh banyak pihak termasuk majlis peguam Malaysia.

​Apa pun keadaanya drama Altantuya, hakikatnya mempunyai realiti kesignifikanannya yang tersendiri, berasaskan sepuluh sebab utama; pertama melibatkan pembunuhan ke atas wanita asing, kedua pembunuhan dilakukan oleh anggota polis, ketiga pembunuhan melibatkan pelupusan mayat melalui bahan letupan, keempat pembunuhan dilakukan oleh pihak yang tidak dikenali mangsa dan pembunuh juga tidak mengenali mangsa, kelima pembunuh yang terlibat adalah seramai dua orang, keenam pembunuhan melibat plot yang terancang namun gagal mengesan perancang aktif, ketujuh pembebasan Razak Baginda tidak disusul oleh rayuan pihak pendakwa raya, kelapan motif pembunuhan gagal didedahkan, kesembilan pihak keluarga melalui bapa mangsa terus terusan menuntut keadilan dengan membawa tuntutan mahkamah, kesepuluh saksi yang disebut dalam akuan bersumpah Azilah Hadri tidak pernah muncul untuk memberi keterangan.

​Perkara paling pokok dalam sesuatu kes yang melibat tingkah laku kerosakan atau kemusnahan adalah motif atau dorongan tindakan, motif akan menjadi faktor yang menghasil tindakan, tanpa motif perilaku yang membawa kepada tindakan konkrit serta agresif tidak akan berlaku. Dalam kes drama Altantuya ini, berdasarkan penceritaan dalam SD, pelaku tidak mengenali mangsa dan tidak mempunyai hubungan personal dengan mangsa.

Pelaku  juga tidak mempunyai konflik pribadi atau skandal sulit bersama mangsa, pelaku juga sebagai anggota polis tidak menerima perintah daripada Ketua Polis Negara (KPN) untuk bertindak ke atas sebarang bentuk kesalahan jenayah yang dikatakan dilakukan mangsa, maka logiknya pelaku tidak mempunyai sebab untuk bertindak memusnahkan mangsa.

Sebagai  anggota polis, berdasarkan kandungan penceritaan dalam SD, pelaku telah memperlihatkan unsur profesionalisme yang tinggi, di sini timbul persoalan berhubung dengan faktor dorongan untuk pelaku bertindak drastik ke atas mangsa yang membawa kepada kematian dan pelupusan mayat secara sadis.

​Berdasarkan teori rangkaian sebab-akibat dan kesan, sesuatu tindakan yang dilakukan adalah hasil dorongan yang berpunca daripada motif yang wujud dalam diri pelaku, tanpa adanya motif maka tidak akan ada dorongan untuk mencetuskan tindakan, biar pun sesuatu tindakan itu boleh mendatangkan keuntungan, apa lagi sekiranya sesuatu tindakan itu boleh mendatangkan kemudaratan.

Ini bermakna motif merupakan faktor penggerak kepada sesuatu keputusan yang diambil. Bermakna dalam segala tindakan, tentunya akan bertitik tolak daripada dorongan yang dikuasai oleh motif, tanpa adanya kuasa motif, maka tindakan konkrit dan agresif tidak akan terhasil. Berkaitan dengan kes drama Atantuya, sehingga kini tidak dapat dicungkil akan motif yang mendorong pelaku untuk bertindak bagi melenyapkan mangsa.

Berdasarkan pengakuan dalam SD, pelaku  dikatakan bertindak di atas jaminan kerahsiaan dan keselamatan yang diberikan oleh pihak lain, bermakna bukan daripada dorongan mutlak pelaku, dorongan itu sebaliknya telah datang daripada pihak lain, bukan dorongan intrinsik yang wujud dalam diri pelaku. Ini  bermakna pelaku bertindak disebabkan oleh hasil kehendak yang dicetuskan oleh pihak (orang atau watak) lain, pihak yang dapat didefinisikan sebagai terkesan dengan tingkah laku mangsa yang dikatakan “membuat bising” dan memberikan ancaman kepada pihak tertentu.

Pelaku dalam kes ini mempunyai kesedaran bahawa bukan menjadi haknya untuk bertindak dalam melupuskan mangsa, dalam SD tersebut pelaku telah menyarankan kepada pihak-pihak yang terlibat supaya membuat laporan polis, namun disebabkan wujudnya dorongan daripada pihak tertentu yang telah mempengaruhi minda pelaku, telah menyebabkan secara psikologi, wujudnya keyakinan tinggi dalam benak pelaku yang mengubah pendirian pelaku. Timbul kepercayaan pelaku bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan tindakan tersebut, disebabkan adanya arahan daripada pihak tertinggi melampaui perintah daripada KPN, menjadi faktor kepada pelaku untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan misi penghapusan mangsa.

Apa yang digambarkan dalam SD pelaku, memperlihat bahawa dalam kes ini pelaku tidak didorong oleh motif pribadi, sebaliknya terdorong oleh keyakinan bahawa tindakan tersebut adalah satu keperluan yang diyakinkan oleh pihak lain, yang mana kedudukannya adalah lebih tinggi daripada hirarki kepolisian, keadaan ini menyebabkan pelaku mengambil keputusan untuk patuh terhadap arahan bagi bertindak secara agresif dan seterusnya menghapuskan mangsa.

Dalam kes ini, motif tindakan bukan datang daripada pelaku, sebaliknya motif tidakan adalah berpunca daripada pihak lain. Persoalannya siapakah pihak tersebut? Ini bermakna drama Altuntaya ini akan berterusan menjadi tanda tanya dan akan menimbulkan lompang jenayah, khususnya kepada keluarga mangsa.

Berkaitan dengan soal keadilan terhadap mangsa, ternyata sistem perundangan telah memberikan keadilan yang jelas apabila pelaku telah dijatuhi hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang. Bererti keadilan terhadap mangsa telah ditegakkan. Namun, dalam aspek lain pula apakah keadilan kepada pelaku telah wujud? Memandangkan nama-nama yang disebut di dalam SD pelaku tersebut tidak pernah tampil memberi keterangan dalam mahkamah, maka tentunya satu kecacatan telah berlaku dalam memberi keadilan kepada pelaku.

Sungguh pun begitu, persoalan lain adakah nama-nama yang disebut dalam SD tersebut benar-benar wujud? Sekiranya nama-nama yang disebut di dalam SD tersebut hanyalah satu rekaan, bermakna SD tersebut adalah tidak terpakai. Jadi dalam hal ini, perlunya satu siasatan lanjut dilakukan terhadap SD tersebut, bagi menentukan kesahihannya, lantaran itu adalah perlu dijalankan proses verifikasi dan kalibrasi bagi memastikan nilai ketulenannya, agar kebenaran terhadap plot drama ini dapat dipastikan dengan tepat, seterusnya bagi membuka jalan kepada penilaian semula terhadap kerelevanan drama Altantuya ini.

*Kolumnis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris