Malaysia Dateline

Drama politik yang tidak berkesudahan

Tindakan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Bersatu yang menarik semula sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan.

Kedua-dua ADUN ini iaitu ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim sebelum ini tetap menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan negeri walaupun Bersatu mengumumkan keluar daripada PH pada 24 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta mereka untuk menyatakan pendirian dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang susulan ketidakstabilan politik negara ketika itu.

Kon Yeow dalam kenyataannya sebelum ini pernah berkata, dua kerusi ADUN Bersatu itu mungkin terbatal secara automatik mengikut Perlembagaan negeri sekiranya mereka mengikut pendirian parti di peringkat Pusat.

Hal ini demikian kerana, mengikut Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 yang bertujuan untuk menghalang amalan lompat parti dalam kalangan ADUN, mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.

Namun, selepas hampir tiga bulan, Khaliq Mehtab dan Zolkifli menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri sekali gus menjadikan mereka sebagai wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, keputusan Khaliq dan Zolkifli itu juga tidak selari dengan pendirian Bersatu peringkat negeri di bawah pimpinan Datuk Marzuki Yahya yang tetap menyokong pimpinan PH di negeri itu.

Selain itu, keputusan mereka berdua juga tidak sedikit pun menjejaskan kuasa pentadbiran PH kerana 35 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dikuasai oleh gabungan DAP, PKR dan Amanah.

Persoalannya, adakah dua ADUN tersebut perlu mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada PRK? Persoalan itu belum dapat dipastikan lagi.

Sehingga hari ini, Kon Yeow masih belum membuat sebarang ulasan lanjut berkaitan perkara tersebut. Mungkin perkara ini akan diketepikan dahulu olehnya kerana terdapat perkara lain yang lebih penting iaitu mengenai kebajikan rakyat Pulau Pinang dalam menghadapi Covid-19.

Sejak negara berdepan penularan Covid-19, Kon Yeow nampaknya lebih memfokuskan urusannya dalam usaha menangani wabak itu bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada sebarang jangkitan.

Dapat dilihat sepanjang tempoh ini, beliau jarang mengadakan aktiviti melibatkan wartawan atau mengadakan sidang media namun menyampaikan mesejnya melalui Facebook Live yang selalunya diadakan pada waktu tengah hari.

Perkara ini perlu dicontohi oleh semua ahli politik dan bukannya asyik sibuk dengan drama politik yang tidak berkesudahan sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.

Lantikan GLC

Khabarnya baru-baru ini kedua-dua ADUN yang menarik balik sokongan ini telah dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Khaliq Mehtab dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), manakala Zolkifli pula dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Rakyat sendiri dapat menilai apa yang berlaku disebalik lantikan ini. Apa yang rakyat harapkan hanyalah mereka mendapat manfaat yang sewajarnya daripada wakil rakyat mereka.

Tidak kira siapa yang menerajui kerajaan negeri mahupun pusat, pastinya rakyat hanya mahukan kebajikan mereka terbela, peluang mencari rezeki sentiasa ada selain inginkan jaminan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara dijaga.

Rakyat tidak mahu lagi melihat sandiwara politik yang tidak berkesudahan sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Sudah-sudahlah berdrama, jalankan tugas sebaiknya dengan membina semula negara.