Drama RUU355 Umno-Pas berakhir semalam, Pas puas hati walau tak dibahas

Kegagalan Rang Undang-undang (RUU) 355 bagi memperkasakan mahkamah syariah dibentang, dibahas dan diluluskan pada sesi terakhir Dewan Rakyat semalam membuktikan isu agama hanya digunakan bagi mengaburi penyelewengan dilakukan kerajaan BN.

Timbalan ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, rakyat selama ini telah dikelirukan dengan RUU ini yang kononnya adalah perkara wajib yang perlu disokong, sedangkan akhirnya ia berkubur sendiri.

Aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat pada 4 April menyenaraikan usul persendirian ahli parlimen Marang yang juga presiden Pas untuk meminda Akta 355 di angka nombor 5.

Ianya berada di nombor 2 senarai usul semalam namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dahulunya bertanggungjawab memberi keutamaan kepada usul Abdul Hadi bertindak mengusulkan supaya Dewan ditangguhkan.

“Ini bukti jelas (perdana menteri) Najib dan Umno dengan bantuan Pas menggunakan isu agama bagi mengekang suara rakyat menentang penyelewengan kerajaan BN.

“Rakyat telah dikelirukan selama ini yang RUU ini adalah perkara wajib yang perlu disokong, sedangkan akhirnya ia terkubur sendiri,” kata Faiz.

Menurutnya lagi, usul RUU355 tidak mungkin boleh dibentangkan pada penggal ke-14 akan datang kerana usul persendirian baharu perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

“Rakyat perlu sedar bahawa RUU ini tidak dibentangkan dengan ikhlas. Jika ikhlas, sudah pasti ia telah dibahaskan dan diluluskan untuk diangkat oleh kerajaan,” katanya.

Faiz juga kesal kerana sepanjang tempoh penggal ke-13 ini, sesetengah pemimpin Pas telah menggunakan RUU 355 ini bagi tujuan memecahbelahkan parti itu dengan menyingkirkan pemimpin yang dituduh sebagai antiulama, menguburkan Pakatan Rakyat dan menghukum pihak yang mengkritik tindakan Pas sebagai ‘tergelincir akidah’.

Faiz menegaskan bahawa rakyat perlu sedar dengan permainan politik Pas yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

“Percaya kepada janji Pas (untuk melaksanakan syariah) umpama percaya kepada janji Umno untuk mengurangkan harga barang selepas PRU14,” tegasnya.

Sementara itu, Pas berpuas hati walaupun usul persendirian presidennya untuk mencadangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sekali lagi tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang juga setiausaha agung Pas dalam sidang media di lobi parlimen semalam, berkata walaupun usul itu tidak dibahas, ia tidak akan menjejaskan kedudukan partinya pada pilihan raya akan datang.

“Kami berpuas hati. Kami sudah melaksanakan tanggung jawab membawa usul mencadangkan pindaan itu,” kata Takiyuddin pada sidang akhbar yang turut dihadiri beberapa ahli parlimen Pas antara Nik Abduh Nik Aziz (Pas-Pasir Mas) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus).

Pada sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu, usul Abdul Hadi diberi keutamaan daripada urusan kerajaan, dan beliau berpeluang untuk mencadangkan usul itu dengan disokong Takiyuddin.

Bagaimanapun, perdebatan tidak berlaku dan kekecohan tercetus apabila speaker menangguh persidangan susulan usul daripada Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semalam hari terakhir Dewan Rakyat bersidang dan dijangka hari terakhir parlimen ke-13 yang dijangka dibubarkan hari ini.

5.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 6.7
CATEGORIES