Malaysia Dateline

Drebar lori sayur tidak kuarantin: Perumpamaan Tuan Ibrahim dangkal

Pemuda AMANAH Nasional menyelar Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang telah memberikan perumpamaan dangkal serta kenyataan mengelirukan untuk menutup kesalahan menteri ingkar kuarantin.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Menteri Alam Sekitar dan Air itu adalah sebahagian dari kerajaan yang membuat peraturan pencegahan penyebaran Covid-19 termasuklah arahan wajib kuarantin kepada sesiapa yang datang dari luar negara.

“Tuan Ibrahim telah menyamakan situasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali seperti ’lori menghantar sayur’.

“Adakah beliau faham dengan kenyataan yang dikeluarkan itu? Beliau merupakan anggota Kabinet.

“Adakah disebabkan seorang menteri melanggar arahan wajib kuarantin beliau perlu membela semberono sedemikian rupa?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam kuliah subuh di Pulau Melaka, Kelantan pada 23 Ogos lalu menyamakan situasi Khairuddin seperti ’lori menghantar sayur’.

Mengulas lanjut, Shazni berkata, penghantaran lori sayur yang dikatakan itu termasuk dalam senarai barang penting yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Justeru, Pemuda AMANAH berharap sebagai seorang anggota Kabinet, beliau wajar menyemak kesahihan fakta terlebih dahulu dan tidak mengelirukan orang ramai sebelum membuat sebarang kenyataan dangkal seperti itu,” tegasnya lagi.