Dua ahli politik bertumbuk ketika debat siaran langsung, gaduh selepas masing-masing tuduh ‘penjilat’

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial, dua ahli politik Pakistan dirakam bergaduh semasa sesi debat ketika siaran langsung program rancangan televisyen di Express TV.

Lapor Hindustan Times, pergaduhan itu melibatkan pemimpin Liga Muslim Pakistan (PML) dan seorang tokoh terkemuka yang dikaitkan dengan Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI).

Pergaduhan dua individu terbabit dikatakan telah tular di media sosial di seluruh dunia.

Ketika kejadian, isu politik sedang hangat didebatkan sehingga menyebabkan berlakunya pertikaman lidah.

Menurut laporan, debat itu telah disiarkan dalam rancangan yang dinamakan sebagai ‘Kal Tak’ dan dihoskan oleh pengacara TV popular Pakistan, Javed Chaudry di Express TV.

Berdasarkan laporan Daily Pakistan, kedua-dua pemimpin itu mula memanggil pemimpin tertinggi masing-masing sebagai seorang penjilat.

Senator PML kemudian menuduh pengerusi PTI mengadakan rundingan pintu belakang dengan anggota tentera dan melakukan beberapa kesalahan.

Pertengkaran tidak lama kemudian bertukar menjadi peribadi apabila kedua-dua pemimpin mula mengheret keluarga masing-masing.

Dalam video tular itu, pemimpin PTI dilihat bangun dan memukul kepala rakan pemimpinnya.

Senator PML lalu bangun dan menolak pemimpin PTI jatuh ke lantai lalu menampar dan menendangnya.

Kakitangan televisyen itu dilihat bergegas membantu untuk menenangkan kedua-dua pemimpin tersebut.

Beberapa jam selepas pergaduhan itu, senator berkongsikan berkenaan kejadian itu di laman X miliknya.

“Dia menyerang saya dalam program bual bicara semalam, saya menolak kepada keganasan tetapi saya adalah askar Nawaz Sharif.

“Helah yang dilakukan adalah pengajaran penting kepada semua ahli PTI,” tulisnya.

Sementara itu, pemimpin PTI mengecam Express TV kerana tidak mengeluarkan rakaman penuh sebelum pergaduhan tersebut tercetus.

Baca juga: “Ingat dia wanita yang baik, tapi semua terbongkar bila mayatnya dibungkus plastik”