Dua akhbar pro-BN sebelum PRU14 serentak ‘serang’ Tun Mahathir?

Dua akhbar pro-BN sebelum PRU14 serentak ‘serang’ Tun Mahathir?

Suratan atau kebetulan? Dua akhbar berbahasa Melayu yang sebelum PRU-14 dikenali memihak kepada Umno-BN, hari minggu ini serentak membangkitkan isu kritikal di Langkawi.

Sisi ‘gelap’ kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad juga Perdana Menteri itu menjadi paparan tajuk muka depan dan eksklusif kedua-dua akhbar terbabit.

Pulau yang diwakili Tun Dr Mahathir dibimbangi jadi ‘gedung dadah’.

Mingguan Malaysia keluaran Utusan Melayu (M) Berhad membawakan tajuk besar, “Dadah ancam Langkawi” dengan berita penuh di muka dua dan tiga.

Akhbar berharga RM2 itu melaporkan masalah penyeludupan najis dadah di Langkawi membimbangkan penduduk setempat lantaran turut membabitkan remaja belasan tahun.

Untuk rekod, Umno telah menamatkan penguasaan dalam Utusan Melayu (M) Berhad apabila melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6 peratus dalam syarikat akhbar itu pada Februari lalu.

Sementara itu, BH Ahad terbitan The New Straits Times Press menggunakan tajuk utama, “Misteri Bukit Malut” dengan laporan lanjut di muka 16 dan 17.

Hasil tinjauan wartawan akhbar yang beribu pejabat di Jalan Riong, ibu negara itu mendakwa tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut telah diceroboh ribuan pelarian Myanmar.

BH Ahad juga melaporkan lokasi paling hitam di Langkawi itu dilindungi pihak tertentu dengan hampir separuh penghuninya memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad.