Malaysia Dateline

Dua akta pekerja boleh dipinda tapi kepentingan majikan perlu dijaga, kata Pengarah Eksekutif MEF

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memaklumkan bahawa pindaan undang-undang berkaitan dua akta melibatkan kebajikan dan hak pekerja swasta di negara ini boleh dipinda tetapi tidak mengenepikan kepentingan majikan supaya terus terjaga.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata pindaan yang dilakukan nanti bukanlah semata-mata melindungi hak pekerja sahaja, malah akan memastikan majikan terus diberikan pelindungan.

Datuk Shamsuddin Bardan
Datuk Shamsuddin Bardan

Katanya, mesyuarat jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, telah melakukan perbincangan terhadap cadangan pindaan berkenaan.

“Pindaan itu bukanlah semata-mata untuk melindungi hak pekerja sahaja tetapi dari segi peniagaan, majikan juga harus diberikan perlindungan supaya ianya dapat terus maju dan berdaya saing.

“Dalam mesyuarat berkenaan, pihak majikan telah memberikan beberapa cadangan bagaimana akta itu nanti harus dipinda. Sebagai majikan, kami menekankan bagaimana kedua-dua akta berkenaan harus dilihat supaya ia dapat fokus pada tanggungjawab pekerja dan tidak melihat pada hak sahaja.

“Kita juga tekankan bagaimana akta tersebut dapat meningkatkan produktiviti terutama dalam Akta Perhubungan Perusahaan supaya ia dapat mengeratkan lagi perhubungan perusahaan antara majikan, pekerja dan juga kerajaan,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa kerajaan mengkaji semula dengan mempertimbangkan beberapa cadangan melibatkan hak dan kebajikan pekerja swasta negara ini untuk dimasukkan dalam Akta Kerja 1955.

Pada Ahad Setiausaha Agung MTUC, J. Soloman berkata, undang-undang buruh di negara ini sudah lapuk kerana kebanyakannya digubal sekitar tahun 50an dan 60an dengan hanya beberapa pindaan terhad yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini yang memerintah negara.

Dalam pada itu, Shamsuddin berpendapat, dua akta yang dibangkitkan iaitu Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959, dilihat masih relevan biarpun dikatakan sudah lapuk.

Katanya, dalam kesatuan tersebut sememangnya memerlukan akta berkenaan terutama Akta Perhubungan Perusahaan yang berfungsi untuk memastikan supaya kesatuan sekerja itu tidak disalahguna.

“Akta tersebut amat penting terutama apabila berlakunya perbalahan dan pertikaian antara majikan dan pekerja.

“Pindaan yang akan dilakukan kelak harus ditadbir dengan teliti supaya dapat memastikan bahawa kesatuan yang ditubuhkan merupakan satu kesatuan yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Baca: Kerajaan rangka RUU majikan, pekerja