Dua anggota polis ditahan reman, disyaki samun dan perkosa pelajar bawah umur

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, anggota polis yang diharapkan untuk melindungi malah tergamak menyamun dan juga memperkosa orang awam.

Mengejutkan, dua anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu mulanya melakukan rondaan di Bukit Ampang, Selasa lalu.

Tidak lama kemudian, pegawai berkenaan bertindak memeriksa sebuah kenderaan jenis Volkswagen Golf yang sedang berhenti di jalan kira-kira pada jam 9.45 malam.

Kenderaan yang ditahan itu difahamkan dinaiki oleh dua mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Uzbekistan berusia 17 tahun.

Malang tidak berbau, mangsa disyaki diarahkan untuk menyerahkan RM500 jika tidak mahu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis kerana gagal membayar wang tunai RM2,000 atas satu kesalahan lalu-lintas yang dilakukan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke lokasi berbeza sebelum kejadian samun dan rogol itu berlaku, lapor Berita Harian.

“Salah seorang suspek (anggota polis) telah merogol mangsa wanita ketika seorang lagi suspek membawa mangsa lelaki ke sebuah bank.

“Mangsa (lelaki) dipercayai dibawa ke sebuah bank di Taman Muda, Ampang, dengan menaiki kereta mangsa untuk mengeluarkan wang yang diminta oleh suspek,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Bertindak atas dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut kolej swasta, kedua-dua suspek ditahan pada jam 6 petang, kelmarin.

Suspek yang ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ampang Jaya itu kini sedang direman pihak polis selama tujuh hari.

Bagi kedua-dua kes ini, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu satu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala satu lagi di bawah Seksyen 395/397 kanun sama.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 376 KK, anggota polis itu boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 395/397 KK boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Baca juga: Setelah 15 tahun disimpan, burger McD ini masih dalam keadaan baik hingga dipamer di muzium