Malaysia Dateline

Dua beradik maut – TNB nafi talian terputus daripada tiang

Dua beradik yang didakwa terkena renjatan elektrik di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor, kelmarin bukan disebabkan talian terputus dari tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menimpa bumbung rumah.

Pihak TNB dalam dalam kenyataan malam tadi berkata, siasatan awal mendapati tidak berlaku talian yang terputus daripada tiang TNB dan menimpa bumbung rumah mangsa seperti dakwaan pihak tertentu.

Sehubungan itu, TNB meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca kejadian sehingga siasatan selesai sepenuhnya sebagai menghormati keluarga mangsa.

“TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan dua anak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun itu.

“Susulan kejadian itu, TNB menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan amat bersimpati atas kejadian menimpa dua beradik berkenaan yang dilaporkan sedang bermain air semasa terkena renjatan daripada kebocoran arus,” katanya.

Petang Jumaat kelmarin, seorang adik cuba membantu menyelamatkan abangnya yang terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah tetapi kedua-duanya maut dalam kejadian tragis itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali dilapor berkata, terdapat wayar elektrik pada tiang TNB terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

Baca juga Adik cuba bantu selamatkan abang tapi sama maut terkena renjatan elektrik

Baca juga Roslan Shah bakal bertemu Jamal Abdillah, mahu mohon maaf secara berdepan