Malaysia Dateline

Dua darjat 3.0: Dr Rafidah kecewa dengan golongan kayangan

Pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah meluahkan rasa kecewa terhadap amalan dua darjat yang memberi pelepasan kepada ‘golongan kayangan’ untuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menerusi ciapannya di Twitter semalam, Rafidah bertanya adakah ia satu perkara yang sukar untuk golongan ini mematuhi peraturan sama seperti dengan rakyat marhaen yang lain.

“Saya tidak menyalahkan masyarakat sebab semua pun dah penat; apatah lagi menyaksikan perbezaan layanan dua darjat.

“Sedih, pilu melihat perangai golongan kayangan yang sepatutnya menjadi contoh.

“Susah ke nak ikut peraturan? Susah ke nak merendah diri? Perlu ke menunjuk-nunjuk? Merasalah jadi manusia biasa. Sekali-sekala berlakon depan kamera tak kira,” ciapnya.

Rafidah berkata, sebagai petugas kesihatan, beliau dan rakan sepasukannya sudah pasrah kerana dua darjat antara golongan kayangan dan marhaen tidak boleh dihapus.

Katanya, amalan itu semakin sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia.

“Biarlah kayangan dengan dunia mereka. Yang penting kita rakyat marhaen jalan terus. Pedulikan manusia yang langsung tidak menghiraukan kita.

“Saya sebagai rakyat marhaen tidak akan mampu memahami. Saya tidak marah; hanya sekadar kecewa. Walaupun hati tetap membara melihat peningkatan kes covid 19 depan mata,” tulisnya lagi.

Menurutnya, biarpun para petugas kesihatan sudah divaksin, mereka tetap merisikokan kesihatan keluarga masing-masing dengan peningkatan kes Covid-19 yang terus melonjak.

“Ya, petugas-petugas kesihatan sudah divaksin. Tapi, kami akan tetap merisikokan ahli keluarga terdekat kami.

“Kami mungkin selamat daripada mengalami komplikasi bila dijangkiti; tapi ahli keluarga kami semestinya tidak! Kita jauh lagi nak capai 70 peratus populasi divaksin tapi semuanya nampak macam dah lupa SOP,” ujarnya.