Malaysia Dateline

Dua hari berturut-turut positif Covid-19 catat 660 kes, 4 kematian

Sebanyak 660 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 17,540 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 5,768 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 660 kes baharu yang dilaporkan, terdapat enam kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara iaitu dari Singapura, Indonesia dan Filipina.

Katanya, daripada 654 kes penularan di dalam negara, 608 kes adalah warganegara Malaysia dan 46 kes adalah bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 167 kes (1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam satu kenyataan.

Namun katanya, jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, Negeri Sabah masih terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 429 kes (65 peratus).

“Diikuti, Negeri Kedah pula mencatatkan sebanyak 113 kes (17.1 peratus) yang mana 109 kes adalah daripada Kluster Tembok yang melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani, manakala Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 17 kes daripada Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

“Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 11.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 68 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 7 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 1 kes,” katanya.