Malaysia Dateline

Dua hari di Segamat bersama pemimpin akar umbi

“Tak sangka!” Itulah kata-kata Ketua AMANAH Kawasan Sekijang, Wak Kholid Kemeran bekas pesara juruteknik Telekom apabila ditanya mengenai kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Sekijang dan dua DUN. Di peringkat pusat, menguasai Putrajaya dan di peringkat negeri, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Itulah pertama kali saya berkenalan dengan pemimpin akar umbi Johor itu semasa misi bantuan banjir yang kami lakukan bersama dengan Jalinan Nusantara Malaysia, ARiF dan beberapa pertubuhan kebajikan tempatan ke Segamat.

Bertemu dengan pemimpin akar umbi parti ibarat menyelami dengup nadi pengorbanan orang bawahan dalam membawa aspirasi perjuangan partinya ke dalam masyarakat.

Kekuatan kepimpinan bukan terletak kepada kebolehan atau kehebatan seseorang pemimpin tetapi ia juga bergantung sama dengan komitmen dan kesungguhan akar umbi bekerja.

Sewaktu zaman pemerintahan Saidina Ali KWJ, orang bawahannya bertanya kepada Saidina Ali tentang mengapa wujudnya perbezaan suasana politik di zaman khalifah sebelum Syaidina Ali berbanding sewaktu beliau menjadi khalifah. Pertanyaan itu lebih kepada usaha cuba untuk mempertikaikan kepimpinan Saidina Ali KWJ.

Dalam pemerintahan Syadina Ali KWJ, kekacauan tidak henti-henti bermula daripada Perang Jamal, Perang Siffin dan sebagainya yang mengakibatkan perang saudara, hilang jiwa dan ukhwah. Saidina Ali KWJ menjawab satu jawapan yang sangat terkenal dan terkesan untuk difikirkan pada hari ini.

Saidina Ali KWJ menjawab bahawa sewaktu Abu Bakar, Umar dan Usman menjadi khalifah, para pengikut khalifah adalah seperti beliau sendiri. Tetapi sewaktu Syaidina Ali KWH menjadi khalifah, pengikutnya seperti orang yang bertanya itu.

Kualiti pengikut juga akan mempengaruhi kualiti pemimpin dan juga membentuk persekitaran pentadbiran. Sering kita melihat sesuatu perjuangan lebih kepada kemampuan dan penampilan kepimpinan mereka di peringkat atas tanpa melihat kepimpinan di peringkat akar umbi.

Dua hari di Segamat yang merupakan satu kawasan yang terletak di negeri Umno paling kuat dalam dunia memberi satu pengalaman bermakna. Ketika itulah saya mengenali seorang Ketua AMANAH Kawasan Sekijang yang lebih mesra dipanggil sebagai Wak.

Istilah ‘Wak’ adalah panggilan seperti Pak Cik, Uncle atau Pak Long. Itu adalah panggilan kebiasaan dan bukan dicipta-cipta untuk seperti panggilan ‘Abah’ yang cuba diperdagang dalam pasar politik.

Dalam tradisi Amerika Latin, rakyat bawahan memanggil pemimpin yang hampir dengan mereka dengan panggilan Che yang bermakna abang.

Inilah panggilan kepada tokoh revolusi dunia, Che Guevara. Seperti juga panggilan Bang Mat, Presiden AMANAH adalah suatu panggilan merakyat. Panggilan itu bukan dibuat-buat seperti ‘Bosskur’. Terasa nak muntah mendengarnya.

Berbalik dengan cerita Wak Kholid.

Wak Kholid Kemeran (berbaju jingga) bersama Haji Hamid Omar.

Selama itu, Wak Kholid rimas untuk ke pejabat namun akhirnya terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan protokol dan segala birokrasi dalam sebuah pentadbiran kerajaan.

Wak mulai memakai baju kot apabila menghadiri acara tertentu. ‘Mentereng juga, wak!’ kawannya mengusik. Mentereng adalah istilah dalam bahasa Jawa yang bermaksud ‘bergaya’.

Pelat Jawanya agak kuat. Leluhur keluarganya dari Jawa Tengah, Jogjakarta. Masih ramai sedolornya di sana. Wak Kholid seusia dengan Datuk Mahfuz Omar dan masih nampak ranggi apabila dia berseluar jeans biru. Banyak sembang dan ramah orangnya.

Oleh kerana kedudukannya terkanan dalam hierarki organisasi parti, Wak Kholid dipilih menjadi Ketua Whip AMANAH di Majlis Perbandaran Segamat. Ini cerita zaman PH jadi kerajaan selama 22 bulan.

Jika setakat berucap mewakili Yang Berhormat dalam majlis rasmi, itu Wak gampang. Ini terpaksa mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri sama golongan yang professional.

Walaupun faktor karismatik tiada pada Wak Kholid sebagai pemimpin namun kedudukannya dari segi legal autoriti, Wak Kholid mempunyai ruang untuk membawa aspirasi perjuangan parti dalam kerajaan. Itu memang menyukarkannya tetapi Wak Kholid mampu melakukannya dengan baik.

Jika menurut Max Weber, Wak Kholid perlukan faktor tradisi bagi melengkapkan dirinya sebagai pemimpin yang boleh dibawa ke tengah. Faktor tradisi merujuk latar belakang sejarah keluarga.

Jika dalam konteks tradisi Melayu, ia mungkin lebih dikaitkan dengan keluarga yang mempunyai pengaruh tradisi seperti raja, bangsawan dan juga keluarga alim ulama.

Saya tidak sempat mengenali lebih dalam latar belakang Wak Kholid. Jika Wak Kholid dapat cari bukti ada wujudnya pertalian dengan keluarga kraton Jogjakarta, itu lumayan untuk dijadikan umpan untuk menjadi pemimpin dalam masyarakat Jawa. Mungkin jika kita dari leluhur raja Bugis, boleh sahaja digendang-palu sebagai pemimpin Melayu.

Mungkin kemenangan PH yang lalu memberi ruang untuk pemimpin akar umbi lain seperti Wak Kholid menapak dalam kepimpinan masyarakat tempatan. Ia mungkin suatu usaha memecah dominasi pola-pola pemimpin terdahulu yang terikat dengan tradisi yang dibentuk oleh Umno.

Kita tidak boleh nafikan pengaruh dan peranan Umno membentuk tradisi kepimpinan Melayu sehingga wujudnya mitos Umno sahaja yang boleh memimpin Melayu.

Pengalamannya menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat kerajaan tempatan sangat bermakna kepadanya.

“Masa aku jadi ahli majlis, ramai orang nak jumpa dan raikan. Ajak jumpa dan ‘bla-bla’ sampai aku malas nak layan.

“Dari jauh lambai-lambai tangan kat aku. Sekarang, aku ke mana-mana, senang. Tak ada orang himpit aku.”

Kata-kata itu disambut dengan senyuman rakan sebelahnya, Haji Hamid Omar yang merupakan Ketua AMANAH Kawasan Segamat.

Barangkali Haji Hamid Omar bersetuju dengan pandangan rakannya itu. Haji Hamid juga ahli Majlis Perbandaran Segamat.

Kami minum di Warung Kapal Terbang berdekatan dengan rumah Haji Hamid Omar. Bukan pasal teh tarik yang kami minum tetapi lebih kepada perbincangan antara kami sewaktu mengirup teh tarik. Itulah menariknya bersama dengan pemimpin akar umbi.

Itulah perkongsian Wak Kholid dan rakan-rakannya di Segamat kepada kami.