Malaysia Dateline

Dua hari sebelum AMANAH

Enam tahun lalu, saya berada di tengah-tengah dewan IDCC Shah Alam bersama lebih seribu yang hadir menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat. Jiwa merdeka dan semangat kebangsaan meruap-ruap keluar. Dengan berbaju batek oren, saya dan isteri berbaris menyanyikan lagu kebangsaan.

AMANAH sebuah parti baru. Semangat oren menyala-nyala bagai obor menerangi kegelapan malam tanpa bulan. Oren, warna perubahan. Warna DACS yang saya asaskan dalam Dewan Pemuda Pas Pusat. Itu bukan kebetulan tetapi suatu ketentuan Tuhan.

Dua hari sebelum itu pada 14 Ogos 2015 bersamaan 1 Zulhijjah 1436, saya secara rasmi memaklumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Yang di Pertua Pas Pasir Salak dalam mesyuarat khas di Markaz Pas Kampong Gajah. Turut meletak jawatan ketika itu ialah Syamsul Alauddin, Setiusaha Pas Kawasan ketika itu yang pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Pasir Salak.

Mengambil semangat bulan Zulhijjah yang sarat dengan falsafah pengorbanan, saya nekad membuat keputusan dan berhadapan menyatakan kepada rakan-rakan seperjuangan. Semangat bulan haji seperti yang dihuraikan oleh Ali Syariati menyuntik kesedaran mengenai perjuangan nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. Ia juga mengingatkan tentang khubah wida’ nabi Muhammad SAW. Sejarah itu azimat buat saya.

Mesyuarat khas malam itu memang saya minta sendiri kepada Yang dipertua Pas ketika itu diadakan bagi saya mengucapkan sayonara kepada sahabat seperjuangan lain. Semua jawatankuasa Pas kawasan hadir seperti kehadiran mesyuarat biasa. Cuma mesyuarat kali ini adalah mesyuarat khas kata Yang dipertua Pas, Ustaz Mustafa Shaari. Selaku pengerusi mesyuarat banyaklah nasihat dan kata-kata yang disampaikan. Namun kebanyakan jawatankuasa lain menganggap ia adalah nasihat ketua sahaja.

Tiba giliran saya bercakap, saya baca teks. Tidak pernah saya membaca teks dalam mesyuarat kawasan tetapi itulah yang saya lakukan pada malam 14 Ogos 2015.

Saya rakamkan teks itu dalam novel satira saya yang bertajuk ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ terbitan Ilham Books pada 2016. Panjang teks ucapan saya lebih kurang 450 patah perkataan dan memakan masa lebih kurang 10 minit. Satu-satu saya baca teks tersebut;

‘Aku berada di tanah perkebunan ini sejak tiga dekad yang lalu sewaktu berguru di ibukota. Tatkala itu, tanah perkebunan ini terasing, aneh dan menyendiri seolah-olah pulau yang berada di tengah lautan. Aku memaksa diri untuk pasrah dan betah dengan kehidupan yang menyukar dan memeritkan. Bukan mudah menggembur tanah keras, menyalir air, menyemai benih, merumput lelalang dan memugar tanah perkebunan.

Waktu itu, ukhwah sesama kawan indah sekali. Makan seala kadarnya bersama, musafir berfaraid dompet membayar tiket, berkongsi mimpi dan menyandar harapan pada bahu kami. Kami menyendiri dalam pondok kayu beratap langit di hujung pinggir desa. Enggan berimam pada taghut yang zalim. Kami adalah musta’ifin mangsa kerakusan mustakbirin. Di luar tanah perkebunan adalah masyarakat jahiliyah. Tembok antara kami dengan masyarakat sepertilah tugu yang kukuh. Jauh untuk dirobohkan. Hasil perkebunan menyara diri syurga milik kami. Kami dirikan pondok dan madrasah untuk anak-anak kami. Meja kerusi bikin sendiri dan kutip dari sisa buangan. Buat barang keperluan harian bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Haram bermuamalah dan bermunakahat selain daripada kalangan ahli tanah perkebunan ini. Hampir terpadamlah cinta sekerat jalan Sang Arjuna. Itulah sekelumit kisah di tanah perkebunan kami tiga dekad yang lalu.

Hinggalah suatu ketika, lama kelamaan tanah perkebunan kami suburnya hingga melimpah ruahnya ke daerah luar. Rahmat Allah dari perkebunan kami dirasai mereka yang duduk dipersempadanan. Guru-guru dan pimpinan kami di tanah perkebunan menghulur tangan kasih sayang. Membuka pintu perkebunan dan menerima tetamu luar. Mengkhabarkan pada segala isi alam tentang rahmatnya tanah ini. Tanah perkebunan menjadi laman teduhan penghuni alam. Sama menumpang kasih dan rahmatnya Tuhan pemilik langit alam.

Maafkanku kawan, tanah perkebunan yang telah berpuluh tahun kita bersama, hari ini aku pasrahkan pada kalian. Aku bimbang kekurangan dan kelemahanku, akan menyukar kalian berjuang. Kalian kan kuat dan maju ke hadapan. Jangan gusar kawan, tatkala kupergi dari sini, tiada siapa kalian yang sedihkan. Jangan bimbang, selepas ini akan datang berbondong bondong pekebun baru yang jauh bersemangat dan kuat. Aku bimbang fikiran kita sering bertentangan, masa dan ukhwah kita akan hilang. Hakikatnya akulah yang paling terpukul kerana tegar meneroka tanah perkebunan baru. Inilah harga tarbiyah yang kuperolehi. Rendra berpesan, kalau takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan. Telah kuperhitungkan segala kewajaran dan kemungkinan dari kitab suci dan lidah mulia sang guru. Jangan berumah di tepi pantai, jika takut dilambung ombak. InsyaAllah, doakanku akan kebaikan saja.

Terlalu banyak kukongsi dan menimba ilmu di sini. Tanah perkebunan ini akan berada pada lipatan sejarah peribadi yang abadi. Mana mungkin terhapus kenangan itu. Separuh hidupku adalah dalam tanah perkebunan ini. Tak kan terpisahkan diri ini dari tanah perkebunan ini. Telah tertanam dalam jiwa dan jasad sekian lama, aku tetap sebagai pekebun. Nafas dan darahku adalah dari denyut nadi tanah ini. Ukhwah dan tanah perkebunan besar kita akan lebih indah apabila tanah ini bermakna dalam masyarakat.

Tarbiyah yang membenam dalam diri ini akan menjadi bekalan untuk kubuka tanah perkebunan baru. Perjuangan kita adalah sama. Menyubur bumi Tuhan dengan kalimahNya. Mungkin kita akan berkhilaf. Khilaf kita adalah rahmah. Jangan kita buang masa berbalah. Jangan kita menuntut baiah. Jangan kalian fikir, tanah perkebunan baru ini akan menyebabkan kita terpisah. Pandanglah pada peta yang luas. Hakikatnya kita adalah bata-bata yang akan melengkapkan sebuah binaan. Suatu ketika nanti, tanah-tanah perkebunan di merata tempat akan cair garis sempadannya. Tatkala itu, bumi hijau dan warna pelanginya kan merata seluruh alam. InsyaAllah. Allah Akbar!

Wasalam’

Selepas habis saya baca teks itu, semuanya menjadi sejarah yang termaktub. Ahli mesyuarat sebahagiannya beredar tanpa permisi. Itu sangat kecil untuk diceritakan pedihnya berbanding pejuang-pejuang tidak ternama.

Setelah itu, saya himpunkan segala rasa dan fikiran untuk dibukukan pengalaman politik dalam diri ini sebagai cebisan sejarah. Setahun kemudian, buku ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ berada di pasaran dan masih terus dijual. Kini enam tahun, saya menulis buku bertajuk, ‘Menang dan Terbuang’. Ia bukan novel tetapi suatu pengamatan mendalam mengenai Amanah sejak dua tahun kebelakangan ini.