Malaysia Dateline

Dua individu didakwa sebar berita palsu, Malaysia Airlines buat laporan polis

Dua individu didakwa menyebarkan berita palsu di media sosial kononnya terdapat empat pesawat dari India mendarat pada 1 Mei lalu.

Sehubungan itu, syarikat penerbangan Malaysia Airlines hari ini membuat laporan polis terhadap mereka terbabit atas dakwaan tidak berasas.

Muhammad Fahmi Abdullah mendakwa beliau diarahkan oleh majikannya untuk mengambil seorang penumpang dari India bernama Ajit Prasad di KLIA awal hari ini untuk dihantar ke pusat kuarantin di sebuah hotel di ibu negara.

Sementara itu, Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi mendakwa pesawat tersebut adalah MH191 dari Delhi, MH193 dari Bengaluru, MH195 dari Mumbai dan MH181 dari Chenai.

Malaysia Airlines dalam kenyataannya memaklumkan semua penerbangan MH yang menjadi tular di media sosial merupakan penerbangan kargo dan tidak membawa penumpang selain kru penerbangan yang berada dalam kapal terbang semasa transit.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat penerbangan juga tidak membenarkan kakitangan penyelenggaraan di India memasuki pesawat.

“Penerbangan MH pada 1 hingga 3 Mei dari India itu juga penuh dengan muatan penumpang-ke-kargo (P2C) termasuk barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik, dan bungkusan kurier,” katanya.

Malaysia Airlines berkata, sejak negara mengenakan larangan masuk sementara kepada warga India ke negara ini pada 28 April, pihaknya membatalkan semua penerbangan penumpang yang dijadualkan ke/dari India bagi mematuhi arahan berkenaan.

“Malaysia Airlines mendapati tuduhan oleh individu tertentu tidak hanya memudaratkan reputasi syarikat tetapi menganggapnya sebagai ancaman terhadap kredibiliti negara dalam membendung penyebaran Covid-19,” tambahnya lagi.