Dua juruterbang Paraglider serah diri di Kuala Kangsar

Dua juruterbang Paraglider serah diri di Kuala Kangsar

Individu yang dipercayai juruterbang paraglider yang berlegar-legar di udara semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar telah menyerah diri malam semalam.

Jurucakap Polis bagi PRK Kuala Kangsar, Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kedua-dua lelaki tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 10.30 malam.

“Dua lelaki lingkungan umur 30-an telah hadir ke IPD Kuala Kangsar untuk menyerah diri bersama kelengkapan paraglider dan mengakui mereka adalah juruterbang paraglider yang berlegar-legar di udara Dewan Jubli Perak, semasa proses penamaan calon berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, pihak polis telah membuat tangkapan serta merampas peralatan yang dibawa oleh kedua-dua lelaki berkenaan.

“Keterangan telah diambil dan kedua-dua lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, beliau berkata siasatan berhubung kes tersebut masih diteruskan.

Terdahulu, polis telah menerima satu laporan berkaitan dua buah paraglider yang berlegar-legar di ruang udara dan mendekati kawasan penamaan calon PRK pada Ahad lalu.

Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kelulusan penerbangan paraglider dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan ia telah disahkan oleh Pegawai bertugas Pusat Khidmat Trafik Udara, Ipoh.

Kes disiasat dibawah Peraturan 143 Civil Aviation Regulation (CAR) 2016.

Juruterbang paraglider ini juga turut kelihataan sewaktu penamaan calon di Parlimen Sungai Besar Ahad lalu berkemungkinan daripada kumpulan sama. Namun sehingga kini tiada laporan dibuat mengenainya.

TAGS