Malaysia Dateline

Dua kali azan – Berakhirnya 9 hari pencarian yang menyayat hati

Bencana Batang Kali yang meragut 31 nyawa menyaksikan kesemua mayat mangsa tanah runtuh di daerah Hulu Selangor itu akhirnya berjaya ditemui hari ini selepas beberapa kali azan dilaungkan.

Laungan azan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu sebagai ikhtiar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan mayat mangsa bermula pada 21 Disember lalu.

Pada ketika operasi pencarian yang memasuki hari keenam di kawasan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m itu, tujuh lagi mangsa tragedi tanah runtuh tersebut belum ditemui.

Azan tersebut dikumandangkan oleh seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohd Iqhmal Kamaruddin sebelum operasi SAR dimulakan pagi itu.

Iqhmal Kamaruddin

Untuk rekod, beliau merupakan alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini bertugas sebagai Penguasa Bomba sebagai Ketua Cawangan Pendakwaan, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Beberapa minit selepas Iqhmal melaungkan azan, mayat mangsa ke-26 yang juga seorang lelaki dewasa dijumpai di sektor B (kem Farmview) dalam keadaan berpelukan dengan anjing peliharaannya.

Keesokannya iaitu pada 22 Disember, empat mayat terdiri daripada satu lelaki dewasa, satu perempuan dewasa serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dijumpai pasukan SAR di Sektor C (riverside) pada kedalaman tujuh meter.

Keempat-empat mayat mangsa yang masih dalam keadaan sempurna dan berpakaian tetapi sudah mula mereput itu ditemui jam 11.04 pagi dalam bungkusan khemah.

Semalam, sekali lagi laungan azan berkumandang sebelum gerak kerja disambung bermula jam 8 pagi dalam ikhtiar menjejak kedudukan seorang lagi mangsa.

Anggota pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pbt Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan itu sebelum bacaan doa yang diaminkan oleh anggota bomba dan pasukan penyelamat yang lain.

Hasilnya, mayat mangsa terakhir yang merupakan kanak-kanak lelaki dibawa keluar kira-kira jam 5 petang tadi dari kawasan kejadian.

Ia sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang terkorban dalam tragedi pada 2.42 pagi Jumaat, 16 Disember lalu berjumlah seramai 31 orang manakala 61 mangsa selamat.

Sepanjang pencarian mangsa bencana tanah runtuh itu, operasi SAR berdepan cabaran cuaca dengan keadaan tanah lembik, lecak dan berlumpur tebal.

Keadaan tanah berlumpur tebal di kawasan runtuhan tanah sepanjang hampir 300m menyukarkan usaha pencarian

Namun, pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi dan khidmat anjing unit pengesan (K9) terus bekerja keras mencari mangsa yang hilang.

Selain bomba, operasi SAR turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi mencari selama sembilan hari mengerah banyak tenaga pasukan SAR

Baca juga Lebih banyak perubahan sebulan pentadbiran Anwar berbanding PM sebelumnya