Malaysia Dateline

Dua kali Najib sebut tentang ‘mahkamah akhirat’

Selepas Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib Razak, bekas Perdana Menteri berkenaan hari ini tampil bersuara.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata, dirinya dibicarakan di ‘mahkamah dunia’ dan mengakui setiap individu termasuk dirinya juga akan dibicara di ‘mahkamah akhirat’ nanti.

Najib, 68, bahkan menegaskan dirinya tidak bersalah mencuri RM42 juta untuk kegunaan peribadi walaupun Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil telah menegaskan dia hanya memalukan negara.

“Saya mungkin tidak mempunyai kebebasan untuk mengulas lebih lanjut di sini mengenai proses mahkamah.

“Tetapi saya katakan di sini bahawa sehingga hari ini, saya sentiasa menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan telah dianiayai.

“Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

“Peringkat rayuan seterusnya adalah Mahkamah Persekutuan dan saya percaya akan mendapat keadilan,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Untuk rekod, penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan ikat jamin RM2 juta dilihat peluang terakhir Najib bagi mengelak daripada menjadi bekas Perdana Menteri pertama Malaysia dipenjara atas jenayah pecah amanah.

Najib sekali lagi menyebut tentang ‘mahkamah akhirat’ dalam catatannya hari ini sambil mengulang penafiannya berhubung dana RM42 juta milik SRC International.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, saya nyatakan atas nama Allah.

“Wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak minta dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta itu.

“Mahkamah akhirat nanti hakimnya Allah,” kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, Tun Dr Mahathir dalam reaksinya berkata ‘banduan Najib’ mungkin terpaksa menunggu kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan untuk tempoh lebih setahun.

Sepanjang tempoh itu, Mahathir dilihat secara sinis berkata, Najib bebas seperti orang yang tidak bersalah bahkan jika bertanding dalam PRU-15 dan menang, boleh sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu secara jelas menolak dakwaan meleset Najib dan para penyokong tegar bekas Menteri Kewangan itu kononnya telah dianiaya atau dijadikan mangsa fitnah.

“AMANAH ingin menegaskan bahawa setakat keputusan semalam adalah jelas teori meleset YB Pekan yang mendakwa beliau adalah tidak bersalah telah ditolak dan tidak diterima kerana pihak mahkamah – mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan telah mengkaji sedalam- dalamnya segala bukti dan keterangan yang dikemukakan di dalam kes tersebut dan telah berpuas hati bahawa YB Pekan telah terbukti bersalah!

“Adalah jelas YB Pekan telah diberi peluang secukupnya berdasarkan prinsip keluhuran undang-undang (the rule of law),” kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Aksi Najib pada malam prosiding Mahkamah Rayuan.