Dua keajaiban di parlimen pada 26 Mei 2016

Dua keajaiban di parlimen pada 26 Mei 2016

Saya telah melihat dua keajaiban pada hari Khamis 26hb 2016 semasa menghadiri sidang Parlimen. Besar kemungkinan dua keajaiban ini mempunyai hubungan rapat satu sama lain. Samada wujudnya hubungan rapat di antara dua keajaiban ini, atau sebaliknya, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai sendiri.

Keajaiban pertama.

Keajaiban pertama adalah persetujuan kerajaan Umno/BN untuk mengangkat usul persendirian YB Marang yang terletak di nombor 15 di dalam senarai peraturan mesyuarat ke kedudukan utama sehingga ianya dapat dibentang untuk dibahas. Ini bererti bahawa usul persendirian YB Marang diutamakan oleh kerajaan Umno/BN dari segala urusan kerajaan yang disenaraikan sebelumnya. Mengutamakan usul persendirian Ahli Parlimen pembangkang mengatasi urusan kerajaan tidak pernah berlaku di dalam sejarah persidangan Parlimen. Maka ianya dilihat sebagai sesuatu yang ajaib.

Saya telah bangun meminta penjelasan mengenai keajaiban ini. Saya turut menjelaskan bahawa saya setuju dan menyokong usul tersebut dibenarkan untuk dibentang untukdibahas dan telah menyatakan perkara ini dalam perbahasan saya. Tuduhan bahawa saya menentang pembentangan usul tersebut adalah tidak benar dan fitnah yang jahat. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dalam ucapan saya kerana mebenarkan perbahasan usul tersebut diutamakan. Hakikatnya perbentangan usul itu hanya mungkin berlaku dengan izin dan persetujuan kerajaan Umno/BN.

Saya seterusnya meminta kerajaan menjelaskan atas pertimbangan dan parameter yang bagaimana sesuatu usul persendirian akan diutamakan ke atas urusan kerajaan. Saya meminta penjelasan ini supaya ianya boleh menjadi panduan bagi diri saya pada masa-masa akan datang sekiranya saya juga ingin membawa usul persendirian. Soalan itu dikemukakan kerana sememangnya ianya satu keajaiban yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Turut disoal oleh diri saya adakah pilihan raya kecil salah satu parameter yang diambil kira oleh kerajaan.

Soalan saya tidak dijawab oleh kerajaan atau Speaker Dewan. Ianya kemudiannya diputar belit untuk dituduh saya menolak usul tersebut dibentangkan. Sedangkan sokongan saya telah saya nyatakan secara jelas terlebih dahulu. Namun, apakan daya, fitnah dan maki hamun telah menjadi budaya sebahagian masyarakat kita. Saya nasihatkan semua supaya bertaqwa atau takut kepada Allah dan ‘dosa jariah’ yang mendatang hasil amalan fitnah dan maki hamun ini.

Keajaiban kedua.

Keajaiban kedua adalah apabila ianya dibenarkan untuk dibentang, YB Marang bangun dan sekadar membaca usul persendirian beliau. Setelah selesai membacanya, maka beliau duduk dan terpaksa Speaker bertanya samada ingin usul beliau dibahas sekarang atau ditangguhkan sehingga sidang akan datang. Saya terperanjat apabila YB Marang menjawab bahawa beliau ingin ditangguhkan kepada sidang akan datang. Saya tersilap pada ketika itu kerana saya tidak bangun minta ianya terus dibahas! Jarang saya tersentak begitu, sehingga terdiam. Begitu terkejutnya saya dengan respon YB Marang!

Ianya amat malang sekali apabila diberi peluang sebegitu rupa, ia itu satu peluang keemasan dengan kebenaran yang disebut sebagai ‘precedent’ atau keputusan baru yang tidak pernah sebelum ini dibenarkan, ianya dipersia-siakan begitu sahaja. Maka segala keseronokan melihat ianya dibenarkan untuk dibentang dan segala harapan bahawa satu perbahasan akan diadakan, hilang melalui tindakan YB Marang meminta perbahasan ditangguhkan. Adakah benar ianya akan dibenarkan dibahas pada sesi akan datang? Percaya betul YB Marang kepada keikhlasan Umno/BN.

Tersentak saya mendegar permintaannya. Tetapi mungkin, matlamat kedua-dua pihak, ia itu pembawa usul dan yang membenar usul itu dibaca, telah tercapai.

Perancangan dan komplot.

Mungkin ianya terlalu mudah untuk mana-mana pihak mendakwa wujudnya satu perancangan dan komplot di sebalik keputusan bersifat precedent ini dan juga kesedian pembawa usul untuk ditangguhkan perbahasan. Sudah pasti akan ada yang mendakwa bahawa pihak kerajaan telah bersetuju untuk usul persendirian itu diangkat untuk dibahas, tetapi dengan syarat ianya sekadar dibaca dan tidak dibahas!

Sudah ada yang mendakwa bahawa skrip yang disediakan kedua-dua pihak, demi menghadapi pilihan raya kecil telah jelas kelihatan.

Saya akui bahawa dakwaan sebegini sememangnya dilihat wajar. Ia menjawab banyak persoalan. Ia memberi ‘rhyme and reason’ atau penjelasan yang boleh diterima akal kepada dua keajaiban yang berlaku berhubung usul yang sama. Dan sekiranya ianya benar, dan saya harap ianya sebaliknya, maka ianya merupakan tindakan memperalatkan sentimen agama demi kepentingan politik oleh dua-dua pihak! Saya sebagai seorang yang mengambil berat persoalan perjuangan Islam dan Islam itu sendiri sebagai agama yang menegakkan keadilan, tidak sanggup melihatnya dipergunakan sebegini rupa.

Adakah benar dakwaan sesetengah pihak baahwa usul hudud atau lebih tepat lagi rang undang-undang mahkamah syariyah, sekadar diperalatkan UMNO untuk menentukan isu 1MDB dan RM2.6 Billion DS Najib akan tenggelam dan tidak menjadi isu utama di Pilihan Raya Kecil Sungei Besar dan Kuala Kangsar? Begitu juga persoalan GST dan peningkatan kos hidup rakyat sehingga kesemuanya itu boleh dijadikan isu untuk menolak Najib dan memenangkan calon-calon PH? Dan adakah PAS pula yang secara lurus bendul membenarkan diri mereka diperalatkan sepertimana juga isu Islam dan undang-undangnya, demi mencapai ‘sedikit kejayaan’ yang boleh digembar-gemburkan kepada ahli-ahlinya? Perlu diingat, muktamar PAS hanya beberapa hari lagi.

Pada hakikatnya tiada apa-apa perbezaan antara ‘dibaca’ dan ‘tertera atas kertas peraturan mesyuarat’, sepertimana sekian lama. Bezanya sekadar ianya dibaca dan ditulis dalam Hansard. Tiada apa-apa yang dicapai pada hakikatnya. Dari segi impak kepada proses perundangan mahu pun proses penggubalan undang-undang, tiada apa-apa akan berlaku. Impak hanya tercapai sekira ianya dibahas dan diluluskan. Perbahasan membantu memberi penjelasan mengenai sistem perundangan islam maka boleh juga dikatakan adanya elemen dakwah. Tetapi sekadar membaca usulnya, sepertimana ianya ditulis, tanpa apa-apa penjelasan mahupun penerangan yang dilakukan, sama sahaja dengan tertera di atas kertas peraturan mesyuarat dan masing-masing baca sendiri.

Kesimpulan.

Maka apa yang boleh disimpulkan di sini adalah dua keajaiban ini tidak berlaku tanpa sebab. Yang percaya kepada kebaikan Umno/BN akan mendakwa mereka ikhlas dan Azalina sebagai Menteri berkenaan, membenarkannya kerana dia seorang yang berjiwa islamik dan ingin Malaysia ditadbir mengikut syariat Islam. Pas akan mendakwa mereka telah berjaya berdakwah dengan Umno dan menceritakan kisah usul ini sebagai bukti kejayaan mereka. Sehingga dilihat Hj. Hadi sendiri membela MCA dan MIC. Tak pernah dimimpi.

Bagi ramai, ianya bukti sekali lagi Pas termakan umpan Umno. Untung secupak, kalau ada untung sekali pun, rugi segantang. Ianya akan digunakan UMNO untuk melepaskan diri dari dihakimi rakyat atas segala rasuah dan penyelewengan yang dilakukan Datuk Seri Najib pada pilihan raya kecil ini. UMNO yang akan mndapat keuntungan terbesar dari ini semua sekiranya rakyat berjaya dikaburi dengan isu ini.

Wallahu ‘alam.

Abdul Khalid Samad adalah Ahli Parlimen Shah Alam

CATEGORIES
TAGS