Malaysia Dateline

Dua kem bukan masalah, berbalik atas prinsip perjuangan, kata Nik Nazmi

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui wujudnya dua kem dalam PKR tidak mahu menganggapnya sebagai halangan kepada kepimpinan baharu dalam AMK menjadi lemah.

“Bagi saya ia (kem) tidak dilihat sebagai satu masalah asalkan berjalan secara sihat.

“Kita perlu berbalik atas prinsip perjuangan kita . Sama ada kewujudkan kem ini kerana kuasa atau wang semata-mata? Atau adakah kem ini untuk perbetulkan dalam parti dan negara itu dua perkara berbeza.

“Oleh kerana pemilihan sudah selesai…kita jangan ambil mudah nanti rakyat bosan kerana rakyat tidak diajar bahawa demokrasi itu terbuka.

“Atas sebab itu kita kena berjaga-jaga kerana rakyat tidak minat dengan cerita titik bengit ini. Mereka nak parti dan kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan manifesto dan mengangkat martabat rakyat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditanya berkaitan perebutan jawatan nombor dua dalam parti yang akhirnya mewujudkan dua kem antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli,  sama ada akan memberi kesan kepada kepimpinan  baharu dalam AMK kelak.

Beliau ditemui selepas selesai perasmian Kongres Nasional  Wanita dan AMK Kali ke-13 2018 di IDCC, Shah Alam malam tadi.

Ditanya mengenai sejauh mana AMK akan terus membawa agenda reformasi dalam penggal pertama kemenangan diraih Pakatan Harapan, beliau berkata ia adalah satu ujian besar buat mana-mana parti yang berkuasa.

“Sekarang kita (PH) diuji dengan kuasa dan perlu ada pemahaman anggota baharu. Saya yakin majoriti masuk dengan niat betul bukan sebab kita nak menang atau nak kuasa

“Begitu juga sesiapa yang akan mewarisi jawatan Ketua AMK kelak perlu bekerja keras membawa agenda reformasi yang diperjuangkan oleh parti selama ini,” ujarnya.

Sebelum itu dalam ucapan aluannya, Nik Nazmi yang tidak pertahankan jawatannya kerana melepasi had umur, turut menyeru parti bergerak ke hadapan dan kembali memberikan fokus untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menyokong kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menekankan peripentingnya kepimpinan baharu AMK kelak menunaikan manifesto dalam Buku Harapan.

“Rakyat tidak kisah isu titik bengit dalam parti. Rakyat mahu lihat agenda reformasi yang akan dilaksanakan.

“Kita mesti bersatu hati dibelakang Presiden Datuk Seri Anwar agar beliau mempunyai pasukan yang kuat dari atas hingga ke bawah supaya beliau akan jadi PM ke-8,” ujarnya ketika berucap dihadapan perwakilan yang hadir malam tadi.

Konvensyen PKR 2018 akan bermula esok sehingga Ahad.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin, Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Saari serta dikalangan Majlis Pimpinan Wanita, AMK Pusat.