Malaysia Dateline

Dua kerusi Exco Selangor kosong: Adakah PH akan balas kesetiaan AMANAH?

10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) pada 14 Mei 2018 bersama Sultan Selangor.

Selangor pada masa ini mempunyai dua kekosongan kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dikatakan bakal diisi selewat-lewatnya sebelum akhir bulan ini.

Kedua-dua kerusi Exco itu kosong selepas penyandangnya iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) masing-masing dari PKR dan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Dua kerusi itu ialah Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor yang sebelum ini diduduki oleh Haniza Mohd Talha yang juga Ketua Wanita PKR dan jawatan bagi Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang oleh wakil Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari.

Haniza antara lima ahli PKR yang dilucutkan keanggotaan seperti diputuskan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 28 Jun lalu manakala Abdul Rashid melepaskan jawatan itu ekoran Bersatu keluar daripada gabungan PH.

Mengulas kedudukan jawatan itu, penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat wakil rakyat dari AMANAH wajar dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan kerusi Exco terbabit.

Ujarnya, barisan pimpinan Exco kerajaan negeri Selangor dibimbangi tidak seimbang jika PKR berkeras untuk menampilkan wakil mereka bagi mengisi kekosongan tersebut.

Beliau berkata, walaupun AMANAH merupakan parti gabungan minoriti dalam PH, namun suara mereka harus didengar oleh pimpinan PH.

“PH mungkin ingat AMANAH ini parti yang tidak kisah jika tidak dapat jawatan tapi sepatutnya tak boleh begitu,” dipetik Sinar Harian hari ini.

Bahkan, Dr Ahmad Atory menjelaskan rekod juga membuktikan pemimpin AMANAH di Selangor tiada yang lompat parti berbeza dengan PKR, Bersatu dan BN.

Dr Ahmad Atory Hussain

“Jadi, kesetiaan AMANAH ini mereka perlu hormat dan inilah masa untuk PH balas balik jasa AMANAH yang kekal setia bersama mereka,” tambahnya lagi.

AMANAH di Selangor mempunyai lapan ADN sekali gus dilihat menjadi kubu parti berteraskan Rahmatan Lil Alamin itu.

Mereka terdiri daripada wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib, Ahmad Mustain Othman (Sabak), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru), Mazwan Johar (Sungai Ramal), Izham Hashim (Pandan Indah), Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang), Hasnul Baharuddin (Morib) dan Mohd Sany Hamzan (Taman Templer).

Sejak dari Pas lagi, pimpinan AMANAH dikenali mempertahankan nilai setiakawan dalam blok politik bersama PKR dan DAP demi menentang BN dalam pilihan raya.

Pada 2014, Saari dan Hasnul menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Presiden PKR sebagai calon Menteri Besar Selangor bercanggah dengan keputusan Majlis Ulama Pas yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar.

Untuk rekod, barisan Exco Kerajaan Selangor pada masa ini menyaksikan wakil rakyat PKR menguasai empat jawatan, DAP (3) manakala hanya dua daripada AMANAH.